klpost

Cucu pengasas Shaw Organisation terlibat dalam skandal pelacuran bawah umur

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

SINGAPURA: Tiga lelaki termasuk aktivis terkemuka yang juga cucu pengasas Shaw Organisation, Howard Shaw, 41; warga Indonesia, Wilson Oei, 25 dan seorang pengurus, Chiang Meng Chuan, 31, mengaku bersalah atas tuduhan mengadakan hubungan seks berbayar dengan seorang remaja perempuan bawah umur.
Hingga kini empat disabitkan bersalah atas kesalahan melakukan hubungan seksual dengan remaja perempuan bawah umur dalam skandal pelacuran yang dikendalikan melalui internet.

Sekurang-kurangnya 48 lelaki diberkas kerana dikatakan terbabit dalam kes berkenaan.

Lelaki pertama yang didakwa dan mengaku bersalah adalah seorang bekas pengetua, Lee Lip Hong, 39, yang dihukum penjara selama sembilan minggu. Beliau dibebaskan kerana berkelakuan baik selepas menjalani hukuman penjara selama enam minggu.

Shaw, 41, bekas pengarah eksekutif Majlis Sekitaran Singapura (SEC) yang juga cucu pengasas Shaw Organisation, mendiang Runme Shaw tiba di mahkamah dengan isterinya, Jessie, 26 tahun.

Beliau didakwa membayar sejumlah S$500 (RM1,611) kerana melakukan hubungan seks dengan remaja terbabit di Hotel 81 Beencoolen pada Oktober 2010.

Peguam Kanan, Harpreet Singh Nehal, meminta mahkamah untuk tidak memenjarakan Shaw kerana melakukan kesilapan yang tidak disengajakan selepas diperdaya mengenai usia sebenar remaja terbabit oleh wanita itu dan juga bapa ayam.
Singh berkata, Shaw tidak berniat melakukan hubungan seks dengan remaja berusia di bawah usia 18 tahun.

Shaw yang mengenakan sut tidak menunjukkan sebarang emosi sepanjang sesi bicara selama 45 minit itu.

Kes Shaw ditangguhkan hingga 30 Julai. – Agensi