klpost4

Cita cita dan hasrat tak kesampaian

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KEMAMAN  –  Kemalangan ngeri menimpa Sabirin Sulaiman dan tiga ahli keluarganya mengejutkan jiran tetangga.

Mereka turut bersedih mengenangkan cita-cita anak bongsu Sabirin, Siti Khadijah, memasuki sekolah menengah sains di Kuala Terengganu tidak kesampaian.

Siti Khadijah memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Wan Kamarul Wan Abdul Rahman, 35, yang tinggal di hadapan rumah mangsa di Dungun berkata, dia sekeluarga mengetahui keinginan Siti Khadijah kerana hubungan mereka rapat, apatah lagi isteri Sabirin, Halina Saif@Saib mengasuh anak mereka sejak kecil.

“Arwah (Sabirin) sangat baik dan sudah berbelas tahun mengajar di negeri ini. Mudah-mudahan roh arwah sekeluarga dicucuri rahmat,” katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian di Unit Forensik, Hospital Kemaman, semalam.

Sementara itu, sepupu Halina, Azwan Yaakob, 23, berkata, kali terakhir dia berjumpa keluarga Halina ialah ketika Aidiladha lalu di Batu Pahat.

“Mereka sangat gembira berjumpa sanak-saudara pada majlis tersebut,” katanya yang mengetahui mengenai kemalangan itu, kira-kira jam 7 pagi semalam.

Jenazah empat beranak tersebut dikebumikan malam tadi dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Parit Besar Laut, Batu Pahat.