klpost

Chelsea tidak boleh ulangi kesilapan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

1770164336LONDON – Pemain tengah Belgium, Eden Hazard menegaskan bahawa Chelsea tidak boleh melakukan kesilapan sekiranya mahu memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Hazard, 22, melaungkan amaran itu menjelang aksi Liga Perdana England menentang West Ham United di Stamford Bridge malam ini.

Ketika ini, Chelsea mengumpul 52 mata untuk menduduki tangga keempat liga selepas ketinggalan dua mata di belakang Tottenham Hotspur (54 mata) dan lima mata di depan pasukan di tangga kelima, Arsenal (47 mata).

Hazard yakin Chelsea bakal berdepan tekanan yang hebat sekiranya mereka gagal menewaskan skuad The Hammers.

“Mengutip tiga mata adalah satu kewajipan bagi kami Ahad ini (malam ini). Kami perlu memenangi perlawanan ini,” kata Hazard.

“Chelsea merupakan sebuah kelab yang hebat. Kami perlu memenangi kejuaraan dan layak ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.

“Banyak perkara yang harus dilakukan, namun kami akan cuba melaksanakannya.”

Setelah hampir sebulan dikritik, pengendali sementara Chelsea, Rafael Benitez masih belum berjaya memenangi hati peminat skuad The Blues berdasarkan jumlah penonton yang hadir ke stadium pada pertemuan kedua kalah mati Liga Europa menentang Steaua Bucharest kelmarin.

Chelsea yang tewas 0-1 pada pertemuan pertama menampilkan aksi yang lebih kemas untuk merekodkan kemenangan 3-1, sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 3-2.

Pada kempen musim ini, Chelsea masih mampu bertahan dan mereka mempunyai peluang untuk menjuarai gelaran Liga Europa serta Piala FA.

Mereka akan berdepan Manchester United pada aksi suku akhir Piala FA dan bertemu Rubin Kazan pada saingan suku akhir Liga Europa, sekali gus menyebabkan skuad The Blues terpaksa mengharungi enam perlawanan dalam tempoh 16 hari.

“Ia mungkin memberi kelebihan kepada kami. Kami boleh mengekalkan tempo permainan dengan lebih cepat kerana kami sudah biasa bermain dalam perlawanan kompetitif sejak kebelakangan ini.

“Namun, apa yang memberi kelebihan kepada lawan ialah kami mungkin keletihan pada penghujung permainan dan mereka pula lebih kuat kerana tidak menghadapi banyak perlawanan.

“Ini sesuatu yang kami perlu hadapi dan saya yakin kami mampu melakukan, terutamanya selepas mendapat sokongan padu para penyokong,” kata Hazard. – AFP /Kosmo