klpost

Cadangan beli PLUS ‘durian runtuh’ untuk kerajaan – Nazri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Cadangan Maju Holdings Sdn Bhd mengambil alih keseluruhan aset dan liabiliti PLUS Malaysia Bhd (PLUS) adalah seperti durian runtuh kepada kerajaan kerana boleh menjimatkan RM900 juta.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata ketika ini kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada PLUS jika mahu menghalang berlakunya kenaikan kadar tol, yang sememangnya kurang disenangi rakyat.

Beliau berkata, perkara ini berlaku kerana banyak berkait dengan perjanjian konsesi lama dan berat sebelah yang dibuat pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau kita (kerajaan) tidak benarkan naik (kadar tol di lebuh raya PLUS), kerajaan kena bayar (pampasan), ini perjanjian yang dibuat pada zaman Dr Mahathir, yang katanya pandai dan bijak sangat buat perjanjian.

“Jadi kalau benar ada syarikat mahu beli, saya sokong penuh. Kerana pertama, RM900 juta kita tak perlu bayar, boleh digunakan untuk kepentingan rakyat. Seterusnya, saya difahamkan kerajaan juga tidak perlu bayar sampai 20 tahun lagi hingga 2038,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tawaran Maju Holdings bernilai RM36 bilion untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti PLUS daripada UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Cadangan yang dikemukakan Maju Holdings, melalui firma penasihat pelaburan bebas global, Evercore Group LLC, adalah nilai paling maksimum kerana memberikan pulangan sekurang-kurangnya 20 peratus kepada pemegang saham sedia ada.

Menerusi tawaran itu, kerajaan akan dapat menjimatkan RM30 bilion dari segi potensi liabiliti akan datang selain wang tunai berjumlah RM4 bilion kepada pemegang saham sedia ada.

Tawaran itu turut membabitkan penghapusan hutang kerajaan berjumlah RM900 juta kepada PLUS dalam bentuk pampasan terdahulu kerana tidak menaikkan kadar tol lebuh raya berkenaan.

“Saya sebagai menteri, boleh rasa legalah sikit. Kerajaan tidak perlu menanggung hutang yang terlalu besar,” katanya sambil menambah pengambilalihan itu akan menyelesaikan isu pampasan yang perlu ditanggung kerajaan jika menolak kenaikan kadar tol.

Beliau juga berharap, perbincangan lebih lanjut membabitkan Maju Holdings Sdn Bhd dengan pihak berkepentingan dapat diadakan segera bagi memastikan usaha pengambilalihan ini berjaya dan menjadi realiti.

Kumpulan UEM ketika ini menguasai 51 peratus kepentingan PLUS manakala bakinya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – BH Online