klpost2

Cabul guna taktik uji bakat, akhirnya terbongkar lelaki,49

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –  Polis menahan seorang lelaki berusia 49 tahun yang dipercayai mencabul beberapa wanita ketika mengadakan sesi uji bakat di sebuah rumah di Taman Connaught, di sini, minggu lalu bagi mencari pelakon wanita.

Suspek yang juga seorang ejen hartanah itu, diberkas di Jalan Hang Isap, di sini, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairy Ahrasa, berkata setakat ini hanya seorang mangsa yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi wanita lain yang menjadi mangsa lelaki berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, suspek bekerja sebagai ejen hartanah dan polis tidak menolak kemungkinan dia bekerja sambilan sebagai pengarah telemovie serta berlakon.
“Mangsa membuat laporan polis sejurus kejadian berlaku pada 12 Disember lalu dan kita juga percaya terdapat beberapa wanita lagi yang menjadi mangsa lelaki berkenaan serta meminta mereka tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.
Harian Metro Jumaat lalu, melaporkan seorang gadis berusia 21 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa dicabul seorang pelakon tambahan ketika menjalani sesi uji bakat dikendalikan lelaki berkenaan.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di ibu kota kira-kira jam 5 petang dan mangsa yang meminta identitinya dirahsiakan mendakwa, empat lagi gadis turut menjadi mangsa pelakon berusia 40-an itu.
Mangsa tertarik untuk menyertai sesi uji bakat itu selepas terbaca iklan dibuat pelakon lelaki terbabit di dalam laman sosial facebook untuk mencari pelakon wanita baru bagi memegang watak heroin dalam satu filem yang bakal diusahakan.