klpost

Bunyi bising diatas siling rupanya Ular bisa berusia 30 tahun

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

GONG BADAK – Seorang lelaki sama sekali tidak menyangka bunyi bising di atas siling rumahnya yang ditinggalkan agak lama tanpa penghuni di Jalan Kepong, Kuala Terengganu, rupanya adalah angkara seekor ular tedung selar berukuran kira-kira 3 meter panjang.

Kehadiran ular berbisa yang boleh mengundang maut itu hanya disedari ketika dia cuba untuk mengambil pakaian yang ditanggalkan sebaik selesai mengemas, namun terkejut apabila melihat ular berkenaan berada di atas siling rumahnya yang terbuka dan begitu hampir dengannya.

Bagaimanapun, kecekapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di unit tangkapan ular yang segera tiba sebaik menerima panggilan berhubung penemuan ular berkenaan, berjaya menyelamatkan pemuda berusia 30 tahun itu daripada diancam haiwan itu.

Menurut Pegawai Pasukan JPAM Negeri Terengganu, Wan Zulkifli Wan Ab Rashid, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengepung dan menjinakkan ular agresif itu dengan dibantu tiga anggota.

“Kita mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menjinakkan ular tersebut yang telah jatuh di atas lantai dan dipercayai telah menelan seekor biawak ketika berada di atas siling rumah berkenaan.

“Pada awalnya agak sukar untuk menangkapnya tetapi dengan dibantu tiga anggota yang berpengalaman dalam kes-kes tangkapan haiwan berbisa, akhirnya ular berkenaan berjaya ditangkap dan kini ditempatkan di dalam sangkar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat JPAM negeri, di sini.

Wan Zulkifli berkata, orang ramai dinasihatkan segera menghubungi JPAM jika menemui haiwan berbisa dan tidak digalakkan bertindak sendiri bagi mengelak perkara tidak diingini. – SH