klpost2

Bukan ambulans, tetapi lori menampung wanita yang mengalami tanda bersalin

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA BERANG  –  Seorang wanita sarat mengandung terpaksa menaiki lori milik Jabatan Pertahanan Awam Malayasia (JPAM) untuk ke hospital kira-kira jam 10.30 malam semalam, setelah laluan Kuala Berang -Ajil ditenggelami air di kawasan simpang Paya Besar.

Difahamkan, wanita berkenaan yang dipercayai mengalami tanda-tanda ingin bersalin itu sebelum itu telah menaiki ambulans Klinik Kesihatan Mengkawang tetapi tidak dapat meneruskan perjalanan kerana laluan dinaiki air.

Sinar Harian yang berada di lokasi kejadian mendapati, selain anggota keselamatan orang ramai juga turut sama membantu mengangkat wanita berkenaan untuk dipindahkan dari ambulans ke dalam lori tersebut.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim yang turut berada di lokasi berkenaan meninjau perkembangan banjir berkata, keadaan sedemikian antara insiden yang berlaku ketika banjir dan ia menyukarkan orang ramai.

“Laluan ini adalah jalan utama Kuala Berang-Ajil dan kawasan sekitar simpang Paya Besar ini ditenggelami air hingga tidak dapat dilalui kenderaan. Malah, faktor ini jugalah mengundang kesukaran terutamanya ketika waktu kecemasan,” katanya.

Menurutnya, pembinaan pembetung tidak dapat menampung air besar ketika musim tengkujuh apatah lagi dengan limpahan air dari Sungai Berang.

“Ketika lawatan Menteri Besar ke Hulu Terengganu pada 2010 lalu, beliau telah bersetuju dengan cadangan Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail supaya sebuah jambatan dibina untuk mengelakkan laluan ini ditenggelami air ketika banjir.

“Bagaimanapun, pihak yang terlibat hanya membina pembetung. Akibatnya, kawasan ini masih dinaiki air sebagaimana kini.

“Pembinaan empat lorong dari Kuala Berang-Ajil untuk kemudahan pengguna tetapi sayangnya ia masih ditenggelami air. Malah, hospital juga terputus hubungan kerana kawasan di Batu 22 turut dinaiki air,” katanya.