SK

Budak suruhan ‘BN’ tiada kuasa

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

PETALING JAYA, May 18,2012: Kerajaan negeri Selangor melahirkan rasa kesal dengan jawapan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Seri

Peter Chin Fah Kui yang mengatakan bahawa beliau tiada kuasa untuk menstruktur semula industri air.

“Justeru itu beliau harus meletakkan jawatan sebagai menteri,” kata exco negeri Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan.

Pada 16 Mei lalu, Sinar Harian menyiarkan laporan mengenai kemelut air Selangor di bawah tajuk: “Tak Boleh Paksa Syarikat Air – Menteri Tiada Kuasa Minta Syarikat Konsesi Setuju Cadangan Struktur Semula Air”

Dr Xavier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor berkata, apa yang jelas beliau sebenarnya bukan tidak mempunyai kuasa sebagai Menteri Pusat tetapi kuasa beliau ‘tidak laku’.

“Beliau tidak boleh berbuat apa-apa bila berdepan dengan syarikat milik kroni Umno-Barisan Nasional (BN) seperti syarikat konsesi

Puncak Niaga dan Syabas, dua buah syarikat milik bekas Bendahari Umno Selangor,” katanya.

Lantaran itu katanya, “kita melihat Peter Chin hanyalah bertindak sebagai ‘budak suruhan’ kepada Umno-BN dan adalah wajar beliau melepaskan jawatannya sebagai seorang Menteri Pusat dengan kadar segera kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Menurut Dr Xavier, kerajaan negeri akan meminta Penasihat Undang-Undang Negeri untuk menfailkan semakan kehakiman bagi tujuan mendapatkan Mahkamah memperjelaskan ‘kuasa’ Menteri tersebut.

Baru-baru ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa Kerajaan Pusat menstruktur semula industri air dan menyerahkan urusan pentadbiran air kepada kerajaan negeri.

Malahan beliau telah mendapatkan khidmat rundingan antarabangsa untuk mengkaji segala aspek undang-undang dalam isu air ini yang melibatkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dan juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar pula menyalahkan kerajaan negeri kerana membatalkan rancangan pembinaan loji Langat 2.

Beliau mendakwa kegagalan membina loji Langat 2 akan menyebabkan negeri Selangor akan menghadapi krisis air menjelang tahun 2014.- FMT