klpost2

BN : Was-was dengan ayat manis aktor-aktor politik ala bollywood

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KOTA BELUD  –  Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said mengingatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada dengan ‘pelakon politik’ lama yang berubah nada selepas menyertai pembangkang.

Sambil menyifatkan golongan itu sebagai lidah bercabang, beliau berkata, mereka yang bersikap sedemikian tidak harus diberi tempat kerana agendanya jelas hanya untuk kepentingan diri dan kelangsungan politik semata-mata.

“Dalam suasana politik mutakhir ini, tidak dinafikan adanya pelakon atau aktor politik yang berubah nada selepas menyertai pembangkang. Tujuannya untuk menonjolkan diri, berlagak seperti hero supaya mendapat perhatian. Kita kena hati-hati dengan golongan seperti ini,” katanya selepas merasmikan Program Kemas di Kampung Piasau di sini, Jumaat.

Hadir sama, Pembantu Menteri Perkhidmatan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan.

Salleh yang juga Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Kota Belud, mengajak rakyat supaya memberi sokongan padu kepada BN demi kestabilan, sekali gus membolehkan kelangsungan agenda pembangunan yang dirancang.

Katanya, rakyat perlu bersatu dan berdiri teguh bersama pimpinan BN yang sudah membuktikan keupayaan dan kemampuan membawa kemajuan serta kemakmuran untuk rakyat dan negara ini.

Beliau berkata, setiap rakyat perlu melihat ke depan dan jangan sesekali bersikap emosi atau terikut-ikut rentak pembangkang.

“BN adalah pilihan terbaik untuk rakyat sebagaimana terbukti `track record’ sepanjang mentadbir negara sejak awal kemerdekaan dahulu,” kata Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah. – BERNAMA