SK

BN hanya mampu menang 118 kerusi dan RM 1.5juta untuk Ahli Parlimen bagi mempertahankan kerusi

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR, (12 Jun) — Para ahli Parlimen (MP) daripada Barisan Nasional (BN) dijangka akan menerima sejumlah RM1.5 juta bagi mempertahankan kerusi mereka, ekoran pentadbiran Najib berkemungkinan hanya mengadakan pilihan raya ke-13 selepas pengumuman Bajet 2013 pada 28 September depan.

Sumber mengesahkan ia akan mengambil masa tiga bulan untuk projek-projek tersebut dikenalpasti dan dijalankan, dan pengumuman lain ketika bajet 2013, termasuk pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang memerlukan tempoh lama untuk dilaksanakan.

Ahli-ahli Parlimen BN enggan mendedahkan jumlah sebenar tetapi mereka berkata sebahagian dana tersebut “boleh diperolehi berdasarkan permintaan.”

“Kami perlu mintanya untuk projek spesifik,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.

Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Shahrir Samad, turut berkata perdana menteri terlalu “berhati-hati” ketika menyuarat malam itu.

“Jika tiada peruntukan, pilihan raya akan datang sangat dekat”, kata ahli Parlimen Johor Baru tersebut yang ditanya bagaimana dana tersebut memberi kesan kepada tempoh masa pilihan raya yang mana Najib akan mengetuai kempen BN untuk kali pertamanya.

Walaupun pengerusi BN yang juga presiden Umno pada mulanya dilihat akan membubarkan Parlimen bulan ini untuk pilihan raya pada Julai ini, beliau mengumumkan akan membentangkan Bajet 2013 pada 28 September, dan dilihat bakal ada kemungkinan untuk pemberian wang tunai BR1M untuk keluarga berpendapatan rendah.

Bayaran wang tunai RM500 itu kepada hampir lima juta keluarga dengan kos RM2.6 bilion awal tahun ini menunjukkan kadar kedudukan Najib meningkat kepada 69 peratus, disebabkan peningkatan dalam kalangan isi rumah kaum miskin.

Namun insiden keganasan polis dan para penunjuk perasaan yang mengambil bahagian dalam protes Bersih pada 28 April menyaksikan penurunan populariti beliau kepada 65 peratus bulan lalu.

Ibadah Haji pada 26 Oktober, Deepavali pada 13  November dan cubaan Barisan Nasional menarik sokongan pengundi Cina dan belia memungkinkan pilihan raya pada bulan November, menurut sumber, yang menambah, Najib masih lagi mengenal pasti calon untuk meraih kemenangan majoriti untuk BN.

Sumber BN turut mengesahkan beberapa kajian sebelum ini menunjukkan parti perlu bekerja keras terutamanya meyakinkan pengundi baru yang berjumlah sekitar 2.2 juta orang.

Difahamkan hasil kajian mendedahkan BN mampu menang hingga 146 kerusi Parlimen dengan 80 yakin menang, lebih 140 daripada Pilihan Raya 2008.

Bagaimanapun, kaji selidik terbaru oleh unit khas BN menunjukkan BN hanya mampu menang 118 kerusi, memaksa pakar strategi menunda pilihan raya.

Najib mengambil alih pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Badawi pada April 2009 untuk menaikkan imej BN yang kalah teruk dalam PRU 2008, yang mana BN hilang kuasa dua pertiga dewan dan lima negeri. -TMI