klpost

Bissme teroka sisi lain kehidupan manusia

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Picture4

Kemampuan menghasilkan buku fiskyen sulung pada usia 45 tahun pasti suatu kejayaan yang membanggakan. Bayangkan pula jika mampu melahirkan buku fiksyen kedua dalam masa hampir dua tahun selepas itu.

Itulah yang berjaya dilakukan oleh Bissme S, seorang wartawan yang berpengalaman luas serta menang beberapa anugerah dalam bidang kewartawanan.

Seperti diakuinya sendiri, dunia kewartawanan menuntut dirinya berdepan dengan fakta dan objektiviti, manakala penulisan fiksyen membuka ruang seluas-luasnya untuk mengembangkan daya imaginasi dan kreativiti.

Saya berpeluang bertemu dengan Bissme pada 2 Februari 2015 di Pesta Buku Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Kebetulan, buku keduanya, Bitter (2015) baru sahaja siap dicetak dan mula dijual.

Mahu tidak mahu, sebagai penulis dan pencinta bahasa serta individu yang berpengalaman dalam bidang penyuntingan, saya secara spontan membelek-belek halaman buku baru ini untuk meneliti kualiti bahasa dan ejaan.

Harus diakui bahawa berbanding buku pertama, Doubt (2013) yang dipenuhi pelbagai kesalahan bahasa dan kesilapan menaip, koleksi fiskyen terbaru ini lebih kemas, bersih dan profesional.

Bissme ternyata mengambil kira komen saya sekitar dua tahun lalu dan memastikan ada orang menyemak, menyunting dan memperkemaskan manuskripnya sebelum diterbitkan.

Sebagai seorang editor akhbar yang berpengalaman, N. Shashi Kala telah melaksanakan tugasnya dengan amat baik bagi memastikan Bitter yang disajikan kepada khalayak lebih kemas dan bebas daripada kecuaian bahasa.

Bagi Bissme, pengalaman menghasilkan sejumlah 13 cerpen dalam koleksi ini agak berbeza dengan cerpen-cerpen dalam koleksi sulung dahulu. Fiksyen kali ini lebih panjang dan standard berbanding koleksi pertama yang agak bercelaru dari segi panjang setiap cerita.

Suatu lagi perbezaan yang ketara adalah bahawa semasa menulis fiksyen sebelum ini, pengarang belum memutuskan untuk membukukannya. Pada kali ini pula, kesemua cerpen ditulis khusus untuk dibukukan.

Fiksyen Yang Tidak Sesuai Bagi Pembaca Kanak-kanak

Bissme mengakui bahawa memang ada semacam kekangan dan kesedaran nyata kerana cerpen-cerpen pada kali ini mahu diterbitkan dalam bentu buku. Tambahan pula, kebanyakan pembaca Bitter kemungkinan besar sudah membaca Doubt.

Secara logik, khalayak pasti mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada karya terdahulu. Pada saya, Bissme berjaya memenuhi tuntutan itu. Kerja-kerja penyuntingan yang kemas merupakan satu lagi bonus yang mampu membantu pembaca (khususnya bukan penutur lazim) mempelajari penggunaan Bahasa Inggeris yang betul.

Pembaca perlu diberikan amaran bahawa sebagaimana Doubt, koleksi fiksyen dalam Bitter juga tidak sesuai bagi kanak-kanak. Hal ini kerana kisah, persoalan dan peristiwa yang disajikan boleh dikategorikan sebagai berciri ganas dan ada aksi agak “terlampau”.

Kisah-kisah yang disajikan mungkin kelihatan seperti cerita biasa. Akan tetapi, “kebiasaan” itu segera berubah menjadi sesuatu yang benar-benar di luar dugaan dan norma kehidupan.

Maka, fiksyen yang dihasilkan oleh Bissme hanya sesuai bagi khalayak yang khusus, iaitu khalayak yang sedia untuk melihat sisi lain kehidupan manusia yang biasanya dielakkan daripada dibicarakan menerusi karya arus perdana.

Mungkin ada pihak yang berpendapat bahawa kisah-kisah seperti ini “selamat” selagi tidak disampaikan dalam Bahasa Malaysia. Pandangan ini agak menarik kerana memang ada buku terjemahan Bahasa Malaysia diharamkan di Malaysia, tetapi versi asal (Bahasa Inggeris) boleh dibeli dan dibaca secara bebas dan terbuka.

Menurut Bissme, buku Doubt sedang dalam proses terjemahan dan versi Bahasa Malaysia akan berada dalam pasaran tidak lama lagi. Ini mungkin berita baik bagi mereka yang mahu menikmati kisah-kisah yang disajikan oleh Bissme.

“Selepas Doubt terbit, saya tidak pernah menyangka akan ada buku lain. Namun, kini Bitter sudah muncul dan saya harap ia mendapat perhatian khalayak pembaca.

“Kisah-kisah yang saya angkat memang lari daripada kebiasaan walaupun ia menampilkan watak-watak biasa yang kita temui dalam kehidupan seharian. Mungkin itulah daya penarik bagi buku-buku saya,” kata Bissme yang merupakan anak jati Kuala Lumpur.

Sebagai seorang penulis dan wartawan berpengalaman, beliau sedar bahawa setiap hasil tulisan – fiksyen mahu pun berita atau rencana – pasti mendapat komen yang pelbagai daripada pembaca.

Adunan Realiti, Imaginasi dan Kreativiti Seorang Wartawan

Saya kagum dengan sikap terbuka yang menjadi pegangan Bissme. Katanya, sama ada reaksi yang diberikan oleh pembaca dan pengkritik adalah positif atau negati, kedua-duanya amat berguna kepadanya.

Sikap positif seperti ini wajar menjadi amalan semua orang dalam segala bidang. Biarlah kita menerima komen positif dan negatif dengan hati terbuka demi membaiki diri dan mutu kerja.

Kesemua cerpen dalam buku ini ditulis pada tahun lalu khusus untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Maknanya, cerpen-cerpen ini belum pernah disiarkan di mana-mana.

Secara penuh sedar, Bissme memastikan kesalahan bahasa dan kecuaian yang terdapat pada buku pertama tidak diulang dalam buku kedua. Penyuntingan profesional yang dilakukan oleh editor berpengalaman juga sangat membantu.

Proses kreatif bagi seorang pengarang adalah semacam misteri. Orang ramai sering tertanya-tanya dari mana penulis mendapat idea bagi cerita. Sebagai seorang penulis, saya juga sering diajukan soalan itu dan biasanya saya tidak mampu memberikan jawapan yang paling tepat dan memuaskan.

Begitulah juga halnya dengan Bissme. Watak serta kisah yang disajikannya dalam Doubt dan Bitter adalah sesungguhnya manusia yang biasa ditemui dalam kehidupan seharian, khususnya di ibu negara.

Apa yang berbeza adalah bahawa Bissme yang kini berusia 47 tahun menggunakan daya kreativiti dan imaginasi untuk membayangkan kemungkinan yang amat berbeza dalam kehidupan setiap watak manusia biasa itu.

Kreativiti seperti ini sangat perlu ada pada mana-mana penulis kreatif. Sebagai seorang wartawan berpengalaman, kini Bissme berjaya pula mengembangkan daya kreativiti dan imaginasi dalam diri untuk memanfaatkan bahan dan idea cerita untuk disajikan dalam bentuk fiksyen yang seronok dan mendebarkan untuk dibaca.

Sepanjang saya mengenali Bissme, dia seorang yang pemalu dan kurang bercakap. Mungkin tugasnya sebagai wartawan memerlukannya untuk lebih banyak mendengar daripada bercakap. Bagaimanapun, kini dia sudah menemui “suara”nya menerusi penulisan fiskyen.

Kisah dan pengalaman Bissme boleh dijadikan panduan oleh orang ramai supaya tidak berputus asa dalam mencapai impian dan cita-cita. Bermula dengan keinginan untuk mahu berkongsi cerita, Bissme kini sudah berjaya menjadi seorang penulis yang berjaya.

________________________________________

 

Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), perunding media dan penulis sepenuh masa. Hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk cadangan cerita menarik.

 

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Kuala Lumpur Post