klpost

Bicara kes bunuh pelajar UPNM bermula 29 Januari depan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 14 hari bermula 29 Januari depan untuk perbicaraan kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mei lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah dan Nur Akmal Farhan Aziz.

Selain 29 Januari, mahkamah turut menetapkan 28 Februari, 28 Mac, 26 hingga 27 April, 14 hingga 16 Mei, 4 hingga 5 Jun serta 26 hingga 29 Jun untuk perbicaraan kes.

Dianggarkan seramai 25 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Sembilan belas tertuduh yang kesemuanya berumur 21 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Tertuduh lain ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lepas.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 10 November lepas, lima daripada 19 penuntut berkenaan iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobiri menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di tempat, masa dan tarikh sama manakala Abdoul Hakeem menghadapi pertuduhan bersubahat dengan lima tertuduh membunuh pelajar itu.

Lima tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan manakala Abdoul Hakeem pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lepas, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. – Bernama