klpost

BERSIH akan diteruskan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM – Pengerusi Bersama Bersih 2.0 , Datuk A Samad Said berasa lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan gabungan itu sah.

Dengan keputusan itu, beliau yang dihubungi melalui panggilan telefon berkata, Bersih 2.0 akan meneruskan agenda memperjuangkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil.

“Kita akan mengadakan rundingan dan perbincangan untuk menentukan pelan tindakan yang selanjutnya.

“Sekiranya ada keperluan untuk mengadakan sebarang tindakan mahupun perhimpunan aman, kemungkinan besar ia hanya akan berlaku selepas bulan puasa ini,” jelasnya yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Mengulas lanjut, Sastarawan Negara itu juga turut berkongsi kerunsingannya bersama anggota Bersih yang lain mengenai kemungkinan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Bersih.

“Namun, kami sentiasa percaya dan yakin sebelum ini bahawa apa yang kami perjuangkan ini adalah sah dan halal.

“Dari kepercayaan dan keyakinan itulah kami bergerak demi satu perjuangan yang berlandaskan demokrasi yang bersih.

“Akhirnya keputusan mahkamah juga turut bersama kami merestui perjuangan suci membela demokrasi demi rakyat dan masa depan negara,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan gabungan NGO Bersih sebagai sebuah pertubuhan haram pada 1 Julai tahun lalu, kira-kira seminggu sebelum perhimpunan yang diadakan pada 9 Julai di ibu negara. – Selangorku