Saturday , 30 August 2014

BERSIH 3.0: Sambutan Perpaduan Dan Kebangkitan Demi Kebebasan

From Datuk Sri Anwar Ibrahim Blog

28 April 2012 akan terpahat dalam sejarah negara sebagai Hari Merdeka Rakyat apabila 300,000 rakyat behimpun menuntut sebuah pilihanraya yang bebas dan adil. Wanita, anak muda serta rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat umur hadir kerana cetusan kesedaran untuk menuntut keadilan dari penguasa yang bobrok. Mesej mereka tidak boleh disalahtafsir – mereka mahukan sebuah negara yang bebas tidak boleh diperhambakan lagi. BERSIH3.0 mewakili harapan dan impian semua rakyat Malaysia bahawa kesahehan politik mana-mana kerajaan pada masa hadapan hanya boleh dicapai melalui proses demokrasi yang tulen.

Oleh itu, tindakbalas pihak berkuasa terhadap perhimpunan tersebut, yang diwakili ratusan ribu orang dari seluruh negara sungguh mengecewakan. Ia adalah kaedah klasik sebuah rejim otoritarian menggunakan media kawalan mereka untuk melabelkan orang ramai yang menjadi mangsa penindasan serta kekejaman sebagai penjenayah.

Saya menjadi saksi kepada kebangkitan politik rakyat tatkala saya berarak bersama mereka dari Masjid Negara. Perhimpunan tersebut adalah zahir dari kesedaran, peremajaan dan harapan. Ia sebagai simbolik sebuah perhimpunan aman, sambutan kebebasan dan perpaduan dalam erti kata sebenar. Ini adalah satu pencapaian BERSIH3.0 yang akan kekal sepanjang zaman.

Rakyat akan menyambut 28 April 2012 sebagai hari Malaysia bangkit dan berarak demi sebuah kebebasan.
Kami tidak akan gentar dengan pembohongan berterusan oleh media kawalan pemerintah. Kami punyai media yang lebih kuat dan efektif iaitu 300.000 rakyat membawa mesej BERSIH3.0 dan keadilan kepada seluruh pelusuk negara.
Biarlah rakyat bersuara dan keadilan ditegakkan.

ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM KeADILan
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat
30 April 2012


Scroll To Top