klpost

Bercakap dengan Muslim hipokrit – oleh Fa Abdul

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

islam1
Saya tiba-tiba teringin sangat nak pekena berger Ramly beberapa hari yang lalu. Jadi, saya pun bertandanglah ke gerai berger Ramly yang terletak bersebelahan pangsapuri saya di SS2 Petaling Jaya. Gerai tersebut dikendalikan oleh seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an yang berbadan kecil dan bertudung litup.

Apabila saya tiba di perkarangan gerai tu, saya pun menyapanya mesra, “Kak, macam biasa – ayam cheese special satu, tak nak mayo, sos bbq dan cili extra.”

Sambil wanita tu mula buat persiapan, saya pun melabuhkan punggung Aeroback saya ni kat salah satu kerusi plastik berwarna merah di sebelah gerai sambil sibuk melayan Facebook. Seronok pula lepak di situ sebab suasananya sunyi, lebih-lebih lagi tiada pelanggan lain melainkan saya.

Tiba-tiba keasyikan saya berfacebook terhenti apabila seorang lelaki menyapa dari belakang, “Dik, marilah duduk dengan abang. Boleh borak-borak sementara bini abang tu siapkan berger.”

Rupa-rupanya suami si akak tu.

“Boleh juga bang. Kejap ya,” ujar saya sambil mengangkat kerusi plastik ke meja abang tersebut.

Belum pun punggung saya menghangatkan kerusi, abang itu dah mulakan sesi soal jawab.

“Kerja apa dik?”

“Tukang cerita.”

“Tukang cerita? Maksudnya adik ni penglipur lara la!” katanya sambil ketawa terbahak-bahak.

Sambil mengelak tempias air liurnya, saya berkata, “Penulis, bang.”

“Wartawan la ni. Bagus, bagus. Jadi apa yang biasa adik tulis?” nampak gayanya dia memang berkobar-kobar nak tahu.

“Macam-macam. Cerita politik, cerita masyarakat, cerita pasal agama…”

“Cerita agama! Bagus, abang ada mesej yang abang nak adik tulis untuk pembaca-pembaca adik,” katanya sambil menyalakan sebatang rokok.  

Saya tersenyum. Memang seronok rasanya bila ada cerita yang nak ditulis, lebih-lebih lagi bila sumber cerita itu sendiri datang mencari saya – macam perigi mencari timba la katakan!

“Adik tau tak apa tanda kita ni Islam?” abang tu mulakan mukadimahnya.

“Hmm…mengucap dua kalimah syahadah,” saya jawab pendek.

“Betul, dua kalimah syahadah. Tapi Islam bukan sahaja pada pengakuan menggunakan lidah. Tanda kita ni orang Islam juga terletak pada perbuatan,” jelasnya.

“Macam la saya ni tak tau,” detik hati kecil saya.

Tiba-tiba terdengar kakak berger memanggil suaminya, “Abang, mari lah tolong kejap. Dah banyak orang ni.”

Tanpa mengendahkan permintaan isterinya yang sibuk menguruskan gerai berger dan pelanggan-pelanggan lain seorang diri, dia terus rancak bersembang.

“Abang nak kamu tulis pasal orang Islam yang bertindak macam orang bukan Islam,” katanya.

Kurang faham, saya pun meminta abang tu tolong jelaskan.

“Abang nak kamu tulis pasal orang Islam yang lawan cakap Mufti. Tengok saja sekarang ni – ramai yang sudah berani menyoal cakap Mufti. Macamana kita nak tunjuk kepada orang bukan Islam tentang keagungan agama kita bila kita sendiri tak mampu nak ikut nasihat guru agama?”

Tersenyum sumbing penuh makna, saya tanya, “Mengapa pula perlu kita ikut telunjuk Mufti bang, sedangkan Quran adalah panduan kita.”

Sambil menghembus rokoknya yang kedua, abang itu teruskan sesi ceramahnya, “Memanglah Quran panduan kita, Mufti pun memberi nasihat kepada kita berpandukan Quran. Sebab itu lah kita mesti dengar kata Mufti.”

“Kalau macam tu kenapa pula ya Mufti di lain-lain negeri punya pendapat yang berbeza? Dan Mufti di lain-lain negara juga punya pendapat yang berbeza? Kalau kesemua Mufti, orang alim dan guru agama berpandukan satu Quran, kenapa pulak mesej mereka berbeza?”

Setelah meramas-ramas janggut karatnya yang tak cukup zat, abang itu menjawab, “Dia macam ni. Semua nasihat Mufti ada kebenarannya. Kita lah sebagai orang Islam perlu belajar daripada nasihat-nasihat golongan cerdik agama ni. Kita ambil apa yang jernih dan buang apa yang keruh.”

Sekali lagi kakak berger tu bersuara memanggil suaminya – tapi tak diendahkan juga. Saya menoleh melihat si akak itu sibuk mengambil pesanan, membuat berger dan membungkusnya seorang diri tanpa bantuan suaminya yang sedang sibuk berpotpet.

“Abang tak nak tolong akak ke? Dah sibuk nampaknya tu.”

“Biarlah. Dia dah biasa.”

Saya menyentap bibir. Geram.

“Adik kena faham, kita ni sekarang tinggal di dunia yang serba serbi mencabar. Semua orang sibuk bekerja nak cari duit untuk anak bini – ramai yang tiada masa untuk duduk mentelaah Quran dan faham isi kandungannya dengan terperinci. Itu lah kebaikannya kita ada Mufti yang sudi membimbing kita.”

“Eh, bukan abang cakap tadi yang tanda kita ni Islam adalah dari perbuatan kita? Jadi sebagai orang Islam, kenapa kita perlu bergantung pada nasihat orang lain berkenaan soal agama? Islam yang macam mana kita ni kalau satu-satunya buku yang Allah turunkan pun kita tak ada masa nak mentelaah sampai nak bergantung pada tafsiran orang lain?”

“Quran kan dalam bahasa Arab. Bukan semua orang yang faham. Sebab tulah kita perlu orang macam mufti-mufti ni. Dia tahu segala selok-belok agama seperti yang tertulis dalam Quran tu. Esok lusa, bila anak-anak kita sendiri dah pandai, dah bergelar tahfiz, kita pun boleh lah tumpang sekaki!” katanya sambil mengangkat hidungnya yang menggeleber.

“Nak tumpang sekaki?” saya tertawa, “Kenapa pula nak tumpang sekaki, bang? Kalau Islam terletak pada perbuatan, kenapa tak kita saja yang belajar? Kenapa nak tumpang sekaki pada Mufti dan anak-anak kita? Kan itu malas namanya.”

Sambil menunggu abang itu membalas, saya menoleh melihat si akak berger yang masih sibuk di belakang gerai. Alahai kesian.

“Orang yang kerja di pejabat, duduk depan komputer, senang la cakap. Zaman sekarang ni bukan mudah tau. Nak hantar anak pi sekolah, nak bayar sewa rumah, bayar bil, bayar kereta, nak beli barang dapur. Semua pakai duit. Mana nak ada masa nak kaji, nak analisa Quran,” marah pula bunyi suaranya itu.

Saya terus diam.

Ketika itu juga, si akak berger mula bising lagi, “Sudah la tu bang. Sudah la. Mari tolong kejap. Pelanggan dah ramai. Saya ada tangan sepasang ja ni ha.”

Lelaki itu menyalakan sebatang lagi rokok. Tersentap saya melihatnya. Geram pun ada juga. Kalau nak diikutkan hati, nak saja saya tarik rokok dari mulutnya dan mencucuh pipi tembamnya itu. Biar sedar sikit dari lamunannya.

“Adik,” panggil kakak berger tu, “Dah siap, dik.”

Dengan perlahan, saya bangun dan mencapai beg.

“Bang, Islamnya kita bermula daripada ucapan dua kalimah syahadah, mengakui tiada Tuhan melainkan Allah. Dan Islamnya kita juga terletak pada tutur kata dan perbuatan kita. Mencari ilmu tanpa bergantung pada orang lain juga sebahagian daripada perbuatan yang dituntut oleh agama. Dan membantu isteri ketika diperlukan juga sama. Assalamualaikum.”

Selepas mendapatkan berger dan membuat pembayaran, saya terus pulang tanpa menoleh ke belakang.