klpost

Benarkah kamu Imam? – Oleh Farouk A. Peru

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Imam
Saya amatlah percaya kepada petanda daripada Tuhan. Tuhan akan menampakkan petanda-petandaNya di dunia supaya kita dapat memahami di mana arah tujuan kita.

Dunia Melayu Islam telah ada banyak petanda – kepimpinan dan ketaksuban kepada parti politik penunggang-penunggang agama yang diketuai Hadi Awang, perbalahan di antara ulamak Ahlus Sunnah dan anasir-anasir Wahabi, perkhidmatan mengajar membaca Al-Quran dalam jet peribadi dan ustaz yang menjual ayam yang dibacai ayat-ayat Al-Quran!

Sekarang muncul pula Imam Samseng dari Kluang. Secara ringkas, ceritanya begini: Wakil rakyat PKR Kluang iaitu Liew Chin Tong telah mengetuai satu rombongan untuk memberi buah kurma kepada rakyat yang hampir berbuka puasa. Mereka berbuat demikian di sebuah bazaar Ramadhan di Kluang. Malangnya, sebelum mereka dapat berbuat demikian, mereka telah dihalau oleh Imam Samseng dan rakan-rakannya. Imam samseng mendakwa yang mereka adalah orang kawasan itu dan beristighfar panjang dan melarang penyokong YB Liew ‘jangan citer pasal Islam’.

Saya amat berbangga yang ramai rakyat Malaysia telah mengutuk Imam Samseng dan rakan-rakannya tetapi persoalan yang patut kita tanya ialah – bagaimana situasi negara kita boleh melarat sehingga samseng-samseng begini boleh bermaharajalela? Perlu diingat, ini bukan kali pertama Imam Samseng buat angkara.

Pada tahun 2014 dulu, Imam Samseng telah menghalang YB Liew juga tetapi pada masa itu, dia belum memegang tauliah imam lagi. Mungkin pada masa itu, dia masih bilal atau tok siak! Dia telah dengan keras meminta kepada YB Liew ‘mana surat’ seolah-olah kawasan itu tanah pusakanya.

Politik samseng sebegini bukanlah perkara asing di negara kita. Bila mana hampir pilihanraya, akan muncullah spesis sebegini dengan kerenah mereka. Persoalan yang kita perlu fikirkan ialah mengapa samseng ini mengaku sebagai imam? Apakah saktinya jawatan imam sehingga ditunggangi Imam Samseng yang sebenarnya bukan seorang imam pun?

Jawapannya mudah – jawatan imam itu ada otoriti. Apabila orang Melayu Islam percaya yang samseng ini benar-benar seorang imam, maka kewibawaan jawatan itu akan memberi kepadanya perasaan hormat, terutamanya di kalangan Melayu. Justeru itu, mereka akan menurut saranannya untuk meninggalkan tempat tersebut. Jawatan imam itu seakan-akan satu kuasa yang dipegang oleh bomoh dan tok dukun. Mereka ada jampi serapah yang akan membawa laknat jika mereka tidak dipatuhi dan dihormati.

Inilah sebab utama Imam Samseng mengaku imam dan salahnya terletak kepada masyarakat Melayu Islam sendiri. Sejak dari kecil, kita dididik untuk menghormati guru-guru agama. Jangan salah tanggap kata-kata saya di sini – menghormati semua orang memang satu amalan yang baik tetapi menghormati dan mentaksubi adalah dua perkara yang berbeza. Berinteraksi dengan baik tidak bermakna yang kita perlu menelan semua falsafah yang diberi orang tersebut.

Cara untuk mengatasi politik samseng ialah dengan meningkatkan tahap pemikiran kita. Kelas-kelas agama perlu mengajar pemikiran yang kritis semasa mengajar pendidikan agama. Mengapa fokus saya kepada agama? Bukan kerana saya memandang rendah terhadap pendidikan agama tetapi kerana disiplin ilmu inilah yang paling kerap disalahgunakan oleh manusia untuk meraih otoriti dari segenap lapisan rakyat. Dengan mudah sahaja penunggang-penunggang agama boleh mengatakan yang, kalau kita tidak mengikut apa yang dikatakan sebagai ‘suruhan Tuhan’, kita akan berdosa.

Jika kita mempunyai pemikiran yang kritis, kita boleh menjawab dengan bertanya soalan-soalan seperti ‘apa itu suruhan Tuhan’, ‘kenapa ulamak boleh berbeza pendapat’ dan sebagainya. Sebenarnya, bukan semudah itu untuk menawan pemikiran kita. Cuma kita tidak dilatih sebegitu.

Lain kali, apabila Imam Samseng mengaku imam, minta kepadanya untuk mentafsirkan seayat dua daripada Al-Quran.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Kuala Lumpur Post