klpost

Beg air kencing mobil patuh syariah – ciptaan terbaru Islamo-Kapitalisme – Oleh: Farouk A. Peru

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Islam
Tergelak saya pada lewat minggu lepas membaca tentang beg air kencing patuh syariah. Beg ini telah dilancarkan dengan penuh bangga (sila lihat muka-muka berseri dalam gambar) sebagai beg yang membantu jemaah-jemaah haji lelaki membuang air kecil semasa tandas-tandas di Masjid Al-Haram, Mekah, terlalu sesak. Saya tertanya pada ketika itu, bagaimana untuk melakukan aktiviti di kalangan masjid yang paling sesak di dunia tanpa dilihat orang? Perlukah mereka mencari ceruk yang sunyi?

Kapitalisme itu pendekatan ekonomi yang menekankan keuntungan. Sememangnya, dalam sains ekonomi tiada faktor moral atau etika pun, tetapi kapitalisme itu jauh menyimpang daripada daripada faktor-faktor ini kerana ia mementingkan keuntungan tanpa sebarang had. Islamokapitalisme pula adalah satu fenomena yang menggunakan budaya Islam sebagai strategi pemasaran mereka. Mereka menjual produk-produk yang dilabel ‘halal’, ‘patuh syariah’ dan ‘Islamik’ tapi ini semua kebanyakannya label sahaja yang digunakan untuk menipu pengguna-pengguna Islam yang sayangkan agama mereka.

Di Malaysia, produk-produk sebegini telah lama menapak. Mereka ada pasaran yang tetap walaupun produk itu jelas adalah tipuan semata-mata. Ini adalah kerana mereka mendapat sokongan daripada badan-badan kerajaan yang kononnya memajukan Islam tetapi hanya meneruskan pemikiran yang singkat lagi jumud.

Mungkin produk yang paling jelas adalah tipuan adalah ‘Ayam Ustaz’, iaitu daging ayam yang dibacakan ayat-ayat Al-Quran sepanjang masa. Menurut ustaz ini, daging ayam akan lebih empuk jika dibacakan ayat-ayat Al-Quran. Yang menghairankan, dalam 6236 ayat Al-Quran, tak ada satu pun yang menyuruh umat Islam membacakan ayatnya kepada haiwan. Juga Al-Quran tidak menyebut tentang ayam langsung!

Kembali kita kepada beg air kencing patut syariah di atas. Beg ini produk yang amat menghairankan. Ia kononnya dapat menolong jemaah lelaki yang tidak dapat menunggu giliran mereka di tandas-tandas Masjid Al-Haram.

Yang lebih menghairankan, bagaimanakah jemaah-jemaah haji boleh membuang air kecil tanpa dilihat orang? Mungkin mereka terpaksa mencipta langsir-langsir mobil juga (seperti shower curtain!) yang perlu dibawa supaya boleh menjamin privasi ketika membuang air! Islamokapitalisme tiada had, sebenarnya? Jika begitu, kenapa jemaah haji tidak boleh menggunakan botol air mineral yang sudah terpakai sahaja? Kan lebih murah daripada RM159 untuk membeli beg air kencing ‘patut syariah’?

Masalah dengan Islamokapitalisme ialah ia tidak membawa manfaat yang menyeluruh kepada ekonomi. Sebaliknya, ia mengakibatkan konsumpsi yang tidak mendatangkan manfaat langsung. Lihat sahaja perkhidmatan mengajar Al-Quran sambil terbang dalam jet mewah dulu. Kos untuk mendapatkan perkhidmatan ini adalah berpuluh ribu ringgit tetapi apakah fadhilatnya? Sama sahaja dengan mengupah seorang ustaz atau ustazah yang datang ke rumah yang hanya akan memakan belanja RM50 sahaja. Bukankah lebih manfaat berbuat begitu dan menggunakan wang berpuluh ribu ringgit tadi untuk membiayai pendidikan pelajar miskin atau menolong orang tidak berkempuan untuk memulakan perniagaan? Sebenarnya, banyak cara lain untuk membawa faedah jika kita hanya berusaha memikirkannya. Malangnya, keinginan untuk mencapai tahap ‘Islam hipster’ (iaitu Islam yang branded dan ‘cool’) lebih penting.

Buat masa ini, ekonomi negara Islam bukanlah ekonomi ‘producer’ (yang mencipta produk baru untuk manfaat manusia segajat) tetapi ekonomi konsumer (yang menggunakan produk-produk Barat dan China) dan ekonomi insular (yang mencipta produk-produk untuk kegunaan dalaman sahaja. Kita perlu membuka minda dan berfikir lagi jauh daripada produk-produk sebegini.


*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Kuala Lumpur Post