klpost

Barisan Nasional gagal memantau pendatang tanpa izin di Sabah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR — Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Bumburing, hari ini mengisytiharkan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Rakyat (PR) melalui parti Angkatan Perubahan Sabah yang baru diumumkan penubuhannya hari ini.

Ahli Parlimen Tuaran itu juga berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk membantu PR memenangi negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Antara punca beliau keluar dari BN ialah kerana kegagalan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri memantau pendatang tanpa izin.

“Ini adalah ibu bagi segala masalah yang ada dalam negeri Sabah,” kata Wilfred yang berucap melalui siaran langsung dari laman web UStream TV Merdeka Rakyat.

Situasi ini pasti menggerunkan regim Umno berikutan dua pemimpin berpengaruh di Sabah dalam dua hari berturut-turut, meninggalkan BN dan menyokong Pakatan Rakyat.
Semalam, Timbalan Menteri Kabinet, Datuk Seri Lajim Ukim meletak semua jawatan dalam Umno dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat, diikuti Wilfred pada hari ini.

Wilfred juga adalah Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), sebuah parti komponen BN Sabah.Sebelum ini, beliau pernah menyertai parti Pertubuhan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (PASOK) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau juga adalah Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilancarkan Tengku Razaleigh Hamzah pada 22 Julai 2011.Pada pilihan raya umum (PRU) 2008, Wilfred menang dengan undi sebanyak 17,645 menewaskan calon KEADILAN, Ansari Abdullah dan calon Bebas, Ajin Nazin Gagah. -PASPB