klpost

Barang kemas lesap selepas dimasukkan dalam kereta polis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Johor Bahru: Polis Johor menyiasat kenyataan seorang mangsa samun yang mendakwa kerugian RM200,000 apabila barangan kemasnya lesap dipercayai dilarikan anggota polis yang menjalankan siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan mangsa petang kelmarin bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian terbabit.

Katanya, siasatan berhubung kes itu kini berada pada peringkat akhir manakala kertas siasatan sedang disiapkan untuk diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Polis menerima empat laporan, termasuk daripada mangsa sendiri menyatakan rasa tidak puas hati kerana barang berharga miliknya hilang selepas dimasukkan dalam kereta polis yang datang menjalankan siasatan di rumahnya.

“Dakwaan mangsa ini adalah serius. Siasatan kini hampir selesai dan kita sedang mendapatkan keterangan daripada beberapa lagi individu sebelum menyiapkan kertas siasatan terbabit,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Polis Kontinjen Johor (IPK) di sini, semalam.

Semalam akhbar melaporkan Lim Kok Yong, 58, kerugian sebanyak RM200,000 apabila barangan kemas, termasuk peninggalan neneknya lesap sejurus dimasukkan ke dalam but kereta polis peronda di rumahnya dekat Taman Munsyi Ibrahim di sini. – BH