klpost2

Bapa mendera dengan kata mendidik anak nakal

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

JOHOR BAHRU  –  “Saya mengaku bersalah, tetapi tujuan saya bertindak demikian adalah untuk mendidik anak-anak saya kerana mereka terlalu nakal dan sering keluar pada waktu malam.

“Malah jiran saya juga pernah mengambil anak-anak tanpa pengetahuan saya, saya bimbang berlaku perkara tidak diingini kepada anak-anak perempuan saya kerana jiran mempunyai anak lelaki.”

Itu pengakuan Nordi Adi, 57, ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya selepas mengaku bersalah melakukan penganiayaan terhadap tiga anaknya, namun meminta hukuman diringankan berikutan faktor usia dan pendapatan yang tidak menentu.

Menurut Sinar Harian, Nordi iaitu bapa kepada kanak-kanak yang dilarikan ibu tirinya ke Lampong, Indonesia, dikenakan hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tiga tuduhan mendera tiga anaknya.

Nordi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dituduh menganiaya tiga anaknya Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyieta Amiera, 8, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada 21 Disember lalu kira-kira jam 6 pagi hingga 6 petang bertempat
di Flat Taman Kempas, Kempas, di sini.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Mohd Ali dan Goh Sze Han mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.