klpost

Bapa ‘gadai’ anak gadis jual tubuh

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

KUALA LUMPUR: Angkara tidak dapat melunaskan hutang yang dipinjam daripada sindiket pinjaman wang haram atau along, seorang bapa tergamak menjadikan anaknya sebagai mangsa tebusan pinjaman yang dibuatnya.

Lebih menyedihkan, anaknya ketika itu baru berusia enam tahun dibawa ke ibu kota untuk dijadikan sebagai pelacur kanak-kanak sebelum diselamatkan dan kini ditempatkan di Rumah Amal Titian Kaseh (RTK).
Mangsa hanya mahu dikenali Nana, 14, berkata, hidupnya kini lebih gembira dan terurus apabila ditempatkan di rumah kebajikan dan tinggal bersama rakan-rakan yang kurang bernasib baik sepertinya.

Menurutnya, dia mahu melupakan kisah silamnya dan menerima segala ketentuan yang terjadi dalam hidupnya sebagai takdir yang perlu diterima selain dijadikan iktibar kepada yang lain.
“Saya masih mempunyai ibu dan adik-beradik lain. Ada antara mereka tinggal di rumah kebajikan lain sekitar ibu kota,” katanya ketika ditemui di rumah kebajikan yang didiaminya itu.
Katanya, hatinya sangat merindui keluarganya dan berharap kehidupannya akan kembali gembira seperti keluarga lain.

Sementara itu, Pengasas RTK, Sharifah Adlan berkata, alhamdulillah atas bimbingan dan ajaran di RTK, Nana dapat mengikut segala tunjuk ajar berlandaskan agama dengan mudah.
Menurutnya, Nana yang sebelum ini tidak bersekolah kini ditempatkan di sebuah sekolah menengah sekitar ibu kota bagi memastikan dia tidak ketinggalan dalam aspek pelajaran kerana pendidikan adalah antara perkara terpenting dalam kehidupan.

Katanya, dia tidak pernah menghalang Nana mahupun anak-anak jagaannya yang lain sekiranya ingin bertemu dengan sanak-saudara terdekat terutamanya menjelang Aidiladha. – Metro