klpost

Bapa didakwa rogol dua anak

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Johor Baharu
– Seorang penjual burger didakwa di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan merogol dua anak perempuannya sejak 2013 sehingga Ogos tahun ini.

Lelaki berusia 48 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ke atas kedua-dua anak perempuannya, yang kini berumur 14 dan 18 tahun, secara berasingan pada waktu berbeza antara Mac 2013 sehingga Ogos 2017, di sebuah unit rumah pangsa di Taman Ungku Tun Aminah di sini.

Kesemua pertuduhan itu dibacakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sekurang-kurangnya 10 tahun tetapi tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

 

Dua lagi pertuduhan turut dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksima 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohammad Khalid menetapkan tarikh sebutan dan serahkan dokumen pada 15 Oktober ini serta mengarahkan tertuduh melantik peguam untuk membela diri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin.

Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana mempunyai hubungan dengan kedua-dua mangsa dan dikhuatiri boleh mendatangkan risiko ke atas mangsa sekiranya diikat jamin. – Bernama