klpost

Bapa, abang didakwa rogol darah daging sendiri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Seorang bapa dan anak lelakinya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Ampang di sini, hari ini atas pertuduhan merogol darah daging mereka sendiri, lima tahun lepas.

Bapa yang berusia 44 tahun dan anak lelakinya yang berusia 19 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said dan Hakim Azrul Darus.

Lelaki itu, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah plaza tol, didakwa merogol anak perempuan kandungnya yang ketika itu berumur di antara 10 tahun dan 12 tahun, di sebuah pangsapuri di Ampang Jaya di sini di antara 2012 dan 2014.

 Anak lelakinya iaitu abang mangsa didakwa merogol adik perempuan kandungnya itu di tempat sama pada Disember 2015 ketika mangsa berumur 13 tahun.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin dan Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu adalah serius dan tidak boleh dijamin.

“Tiada jaminan ditawarkan mengambil kira mangsa adalah anak tertuduh sendiri. Mangsa juga dirogol oleh abang kandungnya. Saya khuatir mereka akan mengganggu mangsa memandangkan pertalian kekeluargaan yang sangat rapat,” kata Ahmad Zuhaini.

Beliau berkata mangsa kini menerima rawatan di sebuah hospital di sini.

Kedua-dua beranak itu, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan lelaki itu perlu menanggung isteri dan enam anak termasuk mangsa dan empat anak tiri.

Hakim Syafeera dan Azrul tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Difahamkan, mangsa yang kini berusia 15 tahun, tinggal bersama-sama bapa dan abangnya sejak berusia tujuh tahun selepas kedua ibu bapanya bercerai.

Bapanya kemudian berkahwin lain pada 2016 dan mangsa yang bersekolah setakat tingkatan satu dan kini bekerja sebagai pelayan kedai makan, kemudian tinggal bersama ibu kandungnya.

Terdahulu, sebelum prosiding bermula, pengawal keselamatan itu yang berada di kandang tertuduh kelihatan menangis dan ditenangkan ibu, isteri dan kakaknya manakala anak lelakinya kelihatan bersahaja. – Bernama