SK

Banteras usaha memurtadkan umat Islam

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

 

MELAKA TENGAH, May 21,2012: Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) akan meneruskan usaha memberi penerangan dan bukti mengenai kegiatan memurtadkan umat Islam negara ini, kata Penasihat HIMPUN, Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah.

Beliau berkata, ini kerana kegiatan untuk mengganggu dan menghancurkan akidah umat Islam kini semakin berkembang dengan orang Melayu diperalatkan sebagai penghubung sambil dibantu kumpulan Kristian zionis dari luar negara.

Katanya, kumpulan Kristian zionis terbabit adalah gerakan peringkat global bagi menggugat akidah dan menghancurkan Islam, yang dilakukan dengan gigih untuk memastikan hasrat mereka menarik umat Islam menganut agama mereka dapat dilaksanakan.

Apa yang kita lakukan ini bukan bertujuan untuk bergaduh dengan mana-mana penganut agama lain, tetapi untuk mempertahankan diri sebagai umat Islam. Ia kewajipan kita untuk mempertahankan agama, akidah umat Islam, Perlembagaan Negara, ketuanan serta Raja Melayu. Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, Penasihat HIMPUN

“Bagaimanapun, amat malang apabila terdapat segelintir orang Melayu beragama Islam serta parti yang menggunakan nama Islam di negara ini berjaya dipergunakan oleh gerakan Kristian itu sama ada mereka sedar atau tidak.

“Justeru, HIMPUN terpanggil untuk mendedahkan kegiatan berkenaan sebagai renungan serta tindakan susulan daripada masyarakat Islam keseluruhannya menerusi program jelajah terbaru yang akan diadakan pada 27 Mei ini di Politeknik Merlimau,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan program HIMPUN Melaka, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perundingan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Melaka, Shahrul Azwar Abd Aziz dan Penolong Setiausaha HIMPUN, Mansor Ibrahim.

Ibrahim berkata, langkah HIMPUN menganjurkan ceramah dan penerangan itu bukanlah untuk mencetuskan perbalahan dengan penganut agama lain, terutama Kristian, tetapi semata-mata mahu menjalankan kewajipan untuk mempertahankan Islam di negara ini.

“Ingin saya tegaskan, HIMPUN amat gusar (dengan gejala murtad), terutama (membabitkan) parti yang menggunakan nama Islam dan terang-terang melakukan perkara bercanggah dengan Islam. Ini (mungkin) akan membawa mereka ke arah kesesatan dan kekufuran.

“Apa yang kita lakukan ini bukan bertujuan untuk bergaduh dengan mana-mana penganut agama lain, tetapi untuk mempertahankan diri sebagai umat Islam. Ia kewajipan kita untuk mempertahankan agama, akidah umat Islam, Perlembagaan Negara, ketuanan serta Raja Melayu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan di Politeknik Merlimau itu, Ibrahim berkata program berkenaan adalah kali keenam diadakan selepas Shah Alam, Selangor, diikuti Kuala Kangsar, Perak; Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu.- BH