klpost

Banjir: PAS Pulau Pinang gesa SPRM siasat

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


PAS Pulau Pinang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa siasatan dijalankan ke atas kerajaan negeri berhubung isu alam sekitar dan banjir yang semakin kerap.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS negeri, Saiful Lizan Mohd Yusoff berkata, laporan itu dibuat selaras penubuhan Kokus Perlindungan Alam Sekitar dan Antirasuah (EPACC) oleh SPRM, April lalu.

“Tujuan EPACC ditubuhkan adalah khusus untuk isu-isu yang menjadi penyebab pencemaran serta kemusnahan alam sekitar, maka LATAS PAS mengambil peluang untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada SPRM. “Untuk makluman, SPRM memandang serius isu-isu melibatkan alam sekitar dan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang bertanggungjawab dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Bila pintu SPRM dibuka kepada rakyat, maka PAS Pulau Pinang di bawah LATAS, mewakili rakyat, ingin menyampaikan isu alam sekitar kepada SPRM,” kata Saiful Lizan selepas membuat laporan di pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, PAS negeri mendakwa kegagalan Kerajaan Pulau Pinang mengawal penggondolan bukit dan merangka pelan pembangunan kawasan lereng menjadi punca banjir kilat kerap melanda negeri ini.

Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pulau Pinang, Yaacob Omar dipetik berkata, daripada statistik yang diperolehi, lebih 20 kejadian banjir dilaporkan di negeri itu dalam tempoh setahun. – BH Online