klpost

Badminton, Skandal dan kontroversi tidak lekang dalam hidup – Jalani Sidek cerai Raja Azmi

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

KUALA LUMPUR – Skandal dan kontroversi tidak lekang dalam hidup penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman dan semalam, dia sah diceraikan dengan talak satu oleh bekas jaguh badminton negara, Mohd. Jalani Mohd. Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam.

Air mata Raja Azmi, 53, mengiringi lafaz talak yang dibuat oleh Jalani, 49, pada pukul 3.30 petang di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selain turut disaksikan anak kedua pasangan itu, Puteri Suaida, 23, yang berada di galeri awam.

Terdahulu, Raja Azmi sambil mengesat air mata mencium tangan suaminya untuk memohon maaf dan mereka berpelukan atas permintaan hakim yang mahukan mereka berbuat demikian sebelum lafaz dibuat.

Shaiful Azli yang menerima dan mengesahkan lafaz tersebut kemudian turut memerintahkan Raja Azmi beredah selama tempoh tiga bulan serta mendaftarkan perceraian itu di pejabat agama.

Perceraian itu atas permintaan Raja Azmi sendiri selaku plaintif yang difailkan kelmarin menerusi peguam syarie, Roslizam Rahim mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1993, seperti di laporkan dalam KOSMO.

Pada prosiding semalam, Jalani yang kelihatan tenang bersetuju dengan permohonan cerai oleh Raja Azmi tanpa sebarang tuntutan dan syarat.