klpost

Babak cabul menjadi realiti,gadis diraba di bilik Ujibakat

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –  “Dia menyuruh saya melakonkan watak dicabul sebelum dia benar-benar mencabul saya,” kata seorang gadis berusia 21 tahun yang membuat laporan polis selepas mendakwa dicabul seorang pelakon tambahan ketika menjalani sesi uji bakat dikendalikan lelaki itu.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di ibu kota kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangsa yang meminta identitinya dirahsiakan mendakwa, empat lagi gadis turut menjadi mangsa pelakon berusia 40-an itu.

Menurutnya, dia tertarik untuk menyertai sesi uji bakat itu selepas terbaca iklan dibuat pelakon lelaki terbabit di laman sosial Facebook untuk mencari pelakon wanita baru bagi memegang watak heroin dalam satu filem yang bakal diusahakan.

Gadis itu berkata, selepas menghubungi pelakon terbabit, dia diarahkan datang ke sesi uji bakat berkenaan di sebuah rumah di ibu kota.

“Pelakon itu bagaimanapun mengarahkan saya supaya hadir ke sesi uji bakat bersendirian dan tidak boleh ditemani sesiapa. Biarpun agak pelik dengan arahan itu, tapi saya langsung tidak mengesyaki sesuatu yang buruk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, sebaik saja tiba di rumah yang dimaklumkan, pelakon itu membawanya ke sebuah bilik kosong di dalam rumah.

“Sebaik saja masuk ke dalam bilik, saya mula curiga apabila mendapati tiada kamera ataupun peralatan penggambaran dipasang bagaimana biasa dilakukan untuk sesi uji bakat.

“Saya tambah curiga apabila dia memberitahu sesi uji bakat itu hanya membabitkan kami berdua dan babak yang perlu dilakonkan ialah saya dicabul olehnya,” kata mangsa.

Menurutnya, belum pun sempat dia bertanya lebih mengenai aksi yang dimahukan, pelakon lelaki itu terus menghampirinya sebelum memeluk, mencium dan meraba bahagian sulitnya.

“Tersentak dengan kejadian itu, saya mempersoalkan tindakannya, namun berulang-kali dia mendakwa itu semua hanya aksi untuk uji bakat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, menyedari lelaki itu berniat jahat dan mahu mengambil kesempatan ke atasnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Mangsa difahamkan sebelum ini ada wanita yang datang ke sesi uji bakat itu dihalau pelakon lelaki terbabit selepas mencabul mereka dengan alasan mereka tidak sesuai dengan watak heroin filem yang akan dibuat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).

Menurut akhbar Harian Metro ,Khairi turut meminta supaya wanita lain yang pernah menjadi mangsa lelaki itu tampil membuat laporan untuk memudahkan polis melakukan siasatan.  –