SK

Azmin Ali tidak pernah menderhakai ibunya

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR 7 Mei: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali, menegaskan beliau sama sekali tidak pernah menderhakai ibunya sebaliknya tetap sayang dan menghormati insan yang melahirkannya itu.
Menurut Azmin, walaupun difitnah Umno, beliau bersyukur masih mempunyai ibu dan isteri yang taat kepadanya.
“Saya tidak pernah menderhaka kepada ibu saya. Saya senantiasa kasih dan sayang kepada ibu dan bapa saya. Saya tetap mendoakan semoga ibu saya senantiasa berada dalam lindungan Allah.
SWT dan mendapat rahmatNya serta beroleh kesihatan yang baik. Saya turut mendoakan semoga Allahyarham ayahanda saya mendapat husnul khatimah dan ditempatkan rohnya di syurga yang penuh nikmat.
“Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini,” katanya pada kenyataan.

Bagaimanapun kata Azmin, semangat perjuangan dalam diri beliau tidak pernah luntur walaupun mendapat kecaman banyak pihak dan menyerahkannya kepada Allah.
“Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelek yang disuburkan oleh Umno dan media yang ditunggangi mereka.
“Saya berserah segala-galanya kepada Allah SWT dalam menghadapi mehnah ini tetapi saya tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah Umno.“Saya akan tumpu kepada usaha dan kerja-kerja parti selaku Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangkakan pada Jun 2012,” ujarnya.
Beliau turut menyeru pihak media supaya berhenti menggangu keluarganya sehingga mengheret ibu beliau ke kancah politik kotor Umno.
“Saya menyeru kepada media supaya tidak menganggu ibu saya dan Umno janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik Umno yang kotor dan jijik. Institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan di dada media.
“Allahyarham ayahanda saya, Pak Ali senantiasa mendidik saya untuk patuh kepada tuntutan Al Quran, berakhlak luhur dan tuntas istiqamah kepada prinsip perjuangan. Didikan dari kecil untuk menghormati serta mengasihi kedua ibu-bapa sesuai dengan pesan ajaran agama Islam menjadi pegangan saya,” katanya.

Source :- Keadilan Daily