SK

Azmin Ali mencabar Najib

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR (14 Mei): Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali berkata, tindakan Perdana Menteri menangguhkan Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) dengan menggunakan pelbagai taktik menunjukkan Umno belum bersedia untuk berhadapan dengan rakyat selain hilang keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan ahli Umno sendiri.

Beliau berkata, tindakan Datuk Seri Najib Razak itu disebabkan beliau perlu menyelesaikan pelbagai masalah dalam Umno selain masalah yang dihadapi kerajaan. “Kalau dia (Najib) kata sokongan rakyat kepada Umno semakin kukuh, saya cabar dia umum tarikh pilihan raya esok (hari ini).
“Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia dari tahun lalu lagi untuk PRU 13,” katanya dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan peralatan persiapan PRU 13 KEADILAN Pulau Pinang di Georgetown semalam.
Hadir sama, Pengerusi KEADILAN Negeri, Datuk Dr Mansor Othman; Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan pimpinan negeri. Mengulas lanjut, Azmin berkata, KEADILAN telah selesai pengagihan kerusi dengan rakan PR untuk PRU 13 di Pulau Pinang.

“Kita juga telah kenal pasti calon-calon yang akan bertanding di peringkat Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri). “Nama-nama calon wakil KEADILAN Pulau Pinang akan diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam masa terdekat,” kata Azmin. Dalam perkembangan sama, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub turut mencabar Najib mengadakan pilihan raya secepat mungkin. “Kalau berani, (Datuk Seri) Najib (Razak) bubarlah Parlimen sekarang!” katanya dipetik.