klpost

Azizul gagal pungut sebarang pingat – London Olimpik 2012

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

London – PELUMBA basikal trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang berjaya mara ke peringkat akhir trek Keirin Individu Lelaki Sukan Olimpik 2012 di London, tetapi gagal membawa sebarang pingat.

Selepas usaha Datuk Lee Chong Wei, dia menghidupkan semula harapan emas negara awal pagi ini.

Bagaimanapun dalam saingan final yang berlangsung kira-kira 1.05 pagi tadi, Azizulhasni hanya menduduki tempat keenam daripada enam peserta peringkat akhir.

Azizulhasni bersaing bersama Shane Perkins (New Zealand), Chris Hoy (Britain), Maximilian Levy (Jerman), Teun Mulder (Belanda) dan Simon van Velthooven (New Zealand) pada jam 12.50 pagi ini (waktu Malaysia).

Pingat emas dimenangi oleh Hoy. Maximilian memperoleh perak manakala Velthooven dan Mulder (gangsa).

Dalam mesej yang dihantar beberapa minit sebelum final, Azizulhasni berkata, “Doakan saya untuk Final Keirin dgn membawa pingat EMAS pertama negara! #supportpocketroket.”

BERBASIKAL:
Trek – Keirin Individu Lelaki

Pusingan Kedua
Saringan 1
1. Chris Hoy (Gbr)
2. MOHD AZIZULHASNI AWANG (MAS)
3. Teun Mulder (Ned)

(Tiga pelumba teratas dalam setiap saringan layak ke peringkat akhir)

Berikut terdahulu laporan Bernama menyebut Azizulhasni Awang mara ke pusingan kedua acara keirin lelaki manakala Yeoh Ken Nee pula menempah tempat ke final 3m papan anjal lelaki Olimpik 2012, yang berlangsung di sini hari ini.

Pusingan kedua keirin lelaki akan diadakan pada 4.30 petang waktu London atau 11.30 malam waktu Malaysia manakala final acara terjun pula pada 7 malam waktu London atau 2 pagi waktu Malaysia.

Dalam pusingan pertama keirin, Mohd Azizulhasni berlumba dalam Saringan 3 bersama-sama dengan Joseph Volece (Can), Fabian Hernando Puerta Zapata (Col), Denis Spicka (Cze), Mikael Bourgain (Fra) dan Volikakis Christos (Gre).

Dalam pertandingan lapan pusingan itu, Mohd Azizulhasni menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang pendahulu, Bourgain.

Hanya dua pelumba terbaik dalam setiap saringan layak secara automatik ke pusingan kedua.

Dalam pusingan kedua, Mohd Azizulhasni berdepan saingan sengit memandangkan beliau akan berlumba bersama-sama juara bertahan keirin Olimpik, Chris Hoy dari Britain, yang turut memenangi tiga pingat emas dalam Olimpik Beijing 2008.

Selain Hoy, seorang lagi penunggang dalam kumpulan itu ialah Juan Peralta Gascon (Esp), Christoy Volikakis (Gre), Teun Mulder (Ned) dan Nicholas Phillip
Njisane (Tri).

Seorang lagi penunggang terkemuka dalam saringan yang sama ialah Nedherlands Mulder, yang juga bekas juara dunia dan pemenang keirin piala dunia.

Sementara itu, Yeoh berjaya mendapat tempat terakhir dalam kalangan 12 penerjun yang berjaya melangkah ke final setelah mengumpul 441.65 mata dalam
separuh akhir 3m papan anjal lelaki.