SK

Ayah cuba bunuh diri – Tiada kesan pada Lee Chong Wei

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Jun 13, 2012 -KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong percaya, masalah peribadi yang dihadapi Lee Chong Wei tidak akan memberi kesan ketika Sukan Olimpik London hanya berbaki enam minggu lagi.

Justeru, Zolkples berharap semua pihak tidak cemas dengan situasi yang melanda jaguh badminton nombor satu dunia itu kerana Chong Wei mampu menanganinya dengan bijak.

“Saya ada bertanyakan masalah yang dihadapinya (Chong Wei) semalam, beliau memaklumkan boleh menyelesaikannya kerana ia lebih kepada hal keluarga. Dari segi MSN, kami sedia memberi bantuan tetapi ini adalah masalah keluarga Chong Wei dan tidak perlu campur tangan.

“Chong Wei juga tidak memerlukan bantuan setakat ini kerana percaya ia boleh diselesaikan bersama ahli keluarga,” katanya di Kuantan, semalam.

Zolkples berkata, apa yang diharapkan kini adalah Chong Wei dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam soal pemulihan kecederaan kaki yang dialami pada Piala Thomas lalu dan pada masa sama, meningkatkan sesi latihannya demi merealisasikan impian meraih pingat emas Olimpik.

“Dalam situasi ini, saya harap Chong Wei dapat menanganinya sebaik mungkin untuk memudahkannya memberi tumpuan pada Sukan Olimpik nanti,” katanya.

Ahad lalu, bapa Chong Wei, Lee Ah Chai dilaporkan cuba membunuh diri selepas dilihat menangis di tepi laut sebelum dipercayai cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang tetapi dapat dihalang polis.