Monday , 24 November 2014

“Awak kacau bini saya” – amuk suami

Professional valet service for all event
http://nusapark.com/

KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki parah selepas menjadi mangsa amukan seorang suami yang dipercayai cemburu dengan hubungan mesra guru berkenaan dengan isterinya dalam kejadian di depan Maktab Perguruan Sultan Mizan, Kampung Raja, Besut, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, guru berkenaan cedera parah di belakang badan, tangan dan kaki akibat ditetak lelaki terbabit menggunakan sebilah parang panjang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum kejadian, guru berusia 35 tahun yang bertugas di sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini, dihubungi seorang wanita yang mahu membeli barangan kosmetik daripadanya.

Menurutnya, bagi memudahkan menyerahkan barangan kosmetik itu, wanita berkenaan meminta guru itu menunggunya di depan Maktab Perguruan Sultan Mizan sebelum mangsa tiba di kawasan dijanjikan pada jam 6.20 petang.

“Selepas kira-kira 10 minit menunggu, guru yang ditemani adik lelakinya berusia 19 tahun, dikejutkan dengan ketibaan dua kereta dinaiki sekumpulan lelaki.

“Dua lelaki termasuk seorang mereka memakai topeng biru dan bersenjatakan parang, turun dari sebuah kereta lalu menyerang mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

Menurutnya, serangan itu menyebabkan guru berkenaan cedera di badan, tangan dan kaki akibat ditetak dengan parang oleh seorang daripada lelaki terbabit.

Manoharan berkata, adik mangsa tidak berani melawan dan hanya mampu melihat abangnya ditetak sebelum membawa mangsa ke Hospital Besut untuk rawatan selepas kumpulan lelaki berkenaan meninggalkan tempat kejadian.

“Mangsa yang kehilangan banyak darah, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Laporan kejadian dibuat adik mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Hasil siasatan awal polis percaya kes berkenaan bermotifkan cemburu dan kami kini memburu suspek yang berasal dari Kampung Baru Batu Tumbuh, Kampung Raja, Besut,” katanya.

Scroll To Top
banner