klpost4

Apakah ini petanda dunia akan kiamat?

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUANTAN  –  Beberapa pelanggan sebuah kedai makan bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila ternampak sebuah lori dengan muatan hasil laut tiba-tiba bergerak ke kiri dan ke kanan sebelum terbalik dan nyaris merempuh kedai dalam kejadian di Jalan Besar, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dua jam apabila badan lori seberat tiga tan itu menghalang sebahagian laluan, manakala muatan ikan dan sotong beku yang dibawanya bertaburan atas jalan.

Bagaimanapun pemandunya yang berusia 50-an difahamkan hanya mengalami cedera ringan di kaki.

Seorang saksi kejadian dikenali sebagai Chong, 68, berkata, ketika kejadian, dia bersama kira-kira 10 pelanggan sedang menikmati sarapan pagi di kedai makan itu.

Menurutnya, salah seorang pelanggan yang berada di meja paling hadapan tiba-tiba menjerit setelah ternampak lori tersebut bergerak ke kiri dan ke kanan menuju ke arah kedai.

“Saya kemudian nampak lori terbabit seperti hilang imbangan sebelum  terbalik betul-betul di hadapan kedai makan ini.

“Semua pelanggan panik dan melarikan diri ke bahagian belakang kedai untuk menyelamatkan diri, malah seorang pelanggan yang terlalu panik melanggar meja hingga tercampak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia berkata, nasib mereka agak baik kerana lori yang terbalik itu tidak merempuh kedai dan tiada kejadian lebih buruk berlaku.

“Sebelum kejadian, ada seorang pelanggan meletakkan motosikalnya di hadapan kedai ini dan nasibnya baik  apabila lori itu terbalik sebaik sahaja dia beredar.

“Lori ini dipandu perlahan namun mungkin muatannya terlalu berat dan tidak stabil menyebabkan ia terbalik ketika melalui hadapan kedai ini dan muatan bertaburan di atas jalan,” katanya.

Menurutnya, sejurus selepas lori itu terbalik, keadaan kembali panik apabila asap keluar dari lori tersebut dan orang ramai bimbang ia meletup, bagaimanapun keadaan  kembali reda selepas mendapati asap itu sebenarnya wap ais dari tong hasil laut yang tumpah.

“Setiap hari saya bersarapan di kedai ini namun tidak pernah duduk di meja paling hadapan kerana bimbang dirempuh kenderaan yang terbabas memandangkan kedudukan kedai  yang begitu hampir dengan jalan.

“Walaupun kejadian ini adalah yang pertama, namun kebimbangan saya  berasas dan kami semua bernasib baik apabila lori berkenaan tidak menggelongsor masuk  ke dalam kedai atau melanggar tiang konkrit bangunan,” katanya.