klpost

Apabila Muslim tamak pahala – Oleh Fa Abdul

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Ramadan
“Tak pi sembahyang terawih kat masjid ka?” tanya makcik yang jual sayur kat pasar pagi.
“Tak. Solat kat rumah ja,” jawab mak.

“Pasaipa? Kan pahala lebih kalau pi masjid,” kata makcik.

“Sakit lutut,” ujar mak pendek.

“Saya kalau sakit macamana pun, mesti nak pergi masjid. Bukan senang nak dapat pahala ni!” kata makcik yang ‘excited’ terlebih.

Sesungguhnya bulan Ramadan memang musim orang mencari pahala extra. Kiri, kanan, depan, belakang, kita di kelilingi oleh orang yang berusaha nak dapatkan pahala sebanyak yang mungkin.

Beberapa hari yang lalu, semasa bersesak di bazar Ramadan, saya melihat beberapa orang memasukkan wang kertas sepuluh ringgit ke dalam bekas plastik yang tertera “Saham Akhirat”.

“Mak tak nak beli saham akhirat ka?” perli anak saya.

Saya tersenyum sumbing – bukan pada anak saya, tetapi pada yang sibuk membeli saham akhirat.

Saya pelik, sebab kebiasaannya orang-orang kita bila tengok saja bayang-bayang makcik yang jual keropok tiga bungkus sepuluh ringgit berlegar dari satu meja ke meja lain, berjalan kaki berbatu jauhnya dengan hanya berselipar buruk, mulalah mereka palingkan muka 90 darjah ke arah yang bertentangan. Masing-masing menunjukkan tangan pada makcik, enggan ambil tahu apa yang dijual. Masing-masing sibuk dengan urusan dunia masing-masing.

Tetapi bila masuk sahaja bulan Ramadan, masing-masing sibuk nak beli saham akhirat. Ini semua kes nak berebut pahala.

Teringat saya akan gambar rakan saya yang terpampang di dada Facebook setiap Ramadan – gambar beliau dan anak-anak yatim berbuka puasa bersama-sama di hotel. Wah, bukan main hebat lagi – makanan yang enak-enak, suasana yang penuh meriah, dan ada pemberian duit raya pula.

Yang lawaknya, sepanjang tahun rakan saya ni sibuk memanjang, tiada masa untuk apa-apa pun melainkan pejabat dan urusan keluarga. Tapi datang saja Ramadan, pasti ada aturcara untuk Rumah Anak Yatim dan Rumah Orang Tua.

“Rajin ya, setiap tahun you buat majlis berbuka puasa dengan anak yatim dan orang tua,” saya ada bertanya padanya.

“Ambik berkat Ramadan,” balas rakan saya itu.
Iyalah tu, macam la bulan-bulan lain tak dapat berkat.

Samalah keadaannya dengan pihak-pihak yang memberi sedekah jariah. Pada bulan Ramadan, ada saja pemberian kampit beras, gula, minyak masak dan pelbagai barangan kegunaan rumah. Kadangkala sampai bertimbun pun ada.

Dan hampir saban tahun, sama saja rungutan yang saya dengar di kalangan saudara mara yang kurang kemampuan.

“Bulan-bulan lain, mintak bantuan macam nak rak sekalipun, payah nak dapat. Tapi tiap Ramadan, memang banyak permintaan untuk orang miskin. Sibuk la kitorang beratur kat masjid, surau dan dewan, nak ambik barang pemberian orang.”

Lawak saya dengar saudara saya tu bercerita. Apa tidaknya, sedekah jariah kan sesuatu yang diharuskan sepanjang tahun, pelik pula dengan mentaliti orang-orang kita yang sibuk memberi di bulan Ramadan tapi memekakkan telinga pada permintaan golongan kurang kemampuan di lain masa.

Tapi inilah lumrah kita di musim Ramadan, masing-masing sibuk mencari pahala. Orang yang liat berkunjung ke masjid setiap Jumaat, tiba-tiba rajin pula berterawih setiap malam sepanjang Ramadan. Yang asyik makan strawberi cicah chocolate fudge, sekarang ni sibuk mencari kurma Yusof Tayyoob. Bukannya macam tak ada kurma di pasaran pada waktu-waktu lain dan bukannya macam khasiat kurma bertambah di musim puasa.

Memanglah Ramadan itu penghulu segala bulan, tetapi itu tak bermakna kita boleh buat perangai di bulan lain dan menjadi ulamak di bulan puasa.

Seharusnya kita menyemai bulan-bulan yang lain dengan amalan yang baik. Kita ikhtiarkan cara-cara untuk menjadi Muslim yang baik. Kita cari keseimbangan dalam menjalankan kewajipan duniawi terhadap keluarga serta tugas di pejabat, dan dalam masa yang sama, tidak lupa akan Allah.

Menjelang Ramadan pula, kita raikanlah kewajipan yang telah kita laksanakan sepanjang tahun dengan jayanya.

Usahlah jadikan Ramadan bulan tamakkan pahala.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Kuala Lumpur Post