SK

Apa Jadi Dengan Tanah IPD Brickfields?

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

by :- Nurul Izzah Anwar

KENYATAAN MEDIA
26 April 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA

APA JADI DENGAN TANAH IPD BRICKFIELDS?

Sewaktu sesi Parlimen baru-baru ini, saya telah bertanya kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tentang hakmilik tanah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, yang telah beroperasi selama lebih 30 tahun di Jalan Tun Sambanthan. Dalam jawapan bertulis beliau kepada saya, saya telah dimaklumkan bahawa tanah tersebut – PT 20 (Lot 18) Seksyen 94A Bandar Kuala Lumpur (BKL) – dipegang di bawah hak milik No. HS(D) 118423 yang dimiliki Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Namun, turut dinyatakan bahawa “pemilik baru masih belum didaftarkan di dalam hakmilik tersebut” dan “bakal pemilik baru tanah bekas tapak IPD Brickfields di Jalan Tun Sambanthan adalah Syarikat Primamuda Holdings Sdn. Bhd.” dan ini merupakan “balasan (land swap) kepada pihak syarikat yang telah membangunkan IPD Brickfields baru di Lot 55 (tapak Balai Polis Jalan Travers dan Balai Polis lama Jalan Travers sekarang).”

Di sini saya bangkitkan persoalan susulan, iaitu bukankah balasan land swap ini menyebabkan percanggahan status tanah Lot 18 (IPD Brickfields lama) – hakmilik kerajaan untuk kegunaan institusi, khususnya sebagai perumahan atau pejabat Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) – dengan niat Primamuda Holdings untuk membangunkan lot tersebut sebagai sebuah tapak pembangunan komersil? Mengapa sanggup digadai tanah yang dahulunya cukup sesuai dan selesa bukan sahaja untuk kegunaan PDRM, malah untuk penduduk sekitar Brickfields yang merasa lebih selamat dengan adanya IPD Brickfields di Jalan Tun Sambanthan?

Saya juga percaya wujud satu konflik kepentingan (conflict of interest) antara pihak DBKL dan Primamuda Holdings, di mana laporan media The Star bertarikh 8 April 2008 (Lampiran 1) telah menjelaskan bahawa salah seorang pengarah Primamuda Holdings ialah Mariany Mohamad Yit, yang merupakan Ketua Wanita UMNO Bukit Bintang, Senator Dewan Negara, dan mantan Ahli Lembaga Penasihat DBKL. Apakah kedudukan beliau di dalam DBKL, Primamuda Holdings, dan sebagai Ketua Wanita UMNO Bukit Bintang telah mempengaruhi pemberian projek pembangunan Lot 55 dan landswap Lot 18?

Primamuda Holdings turut telah menimbulkan kontroversi apabila ia diberi kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Mac 2008 untuk membangunkan tanah seluas 2.1ha (6.2 ekar) di Lot 55 Plot A, Seksyen 70, Jalan Travers. Tanah Lot 55 ini merupakan tanah milik kerajaan pusat yang dikategorikan untuk kegunaan institusi, merangkumi pembinaan untuk perumahan ataupun pejabat PDRM, bukannya untuk pembangunan komersil. Maka harus ditanya: Siapakah yang telah memberi kelulusan kepada Primamuda Holdings untuk membangunkan Lot 55? Dan jika tidak dibantah hebat oleh penduduk sekitar Bukit Persekutuan, kerana Primamuda diberi hak membangunkan tanah tersebut secara komersil, apakah kita akan menyaksikan satu pembangunan yang tidak sepatutnya berlaku?

Soalan akhir saya: Apakah juga jumlah kos yang ditanggung oleh Primamuda Holdings dalam pembinaan Balai Polis Jalan Travers dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (Lot 55)? Adakah ianya setimpal dengan harga tanah IPD Brickfields di Jalan Tun Sambanthan (Lot 18)?

Saya berharap yang persoalan-persoalan ini akan terjawab oleh pihak-pihak yang berwajib dan menyeru agar pihak Kerajaan tidak meneruskan dengan penukaran hakmilik Lot 18 (IPD Brickfields lama), demi kepentingan penduduk Lembah Pantai, khususnya mereka yang telah menikmati dan mengidam semula keselesaan perkhidmatan di IPD Brickfields Jalan Tun Sambanthan.

YB Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap Naib Presiden KEADILAN