klpost

Apa agenda tersembunyi Najib ke Arab Saudi dan jumpa ulama

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUNJUNGAN Perdana Menteri Najib ke Arab Saudi sekarang nampaknya bukan setakat nak menghadiri mesyuarat khas OIC bagi membincangkan isu berkaitan Rohingya dan Syria, tapi mungkin ada agenda tersembunyi yang lain.

Penulis curiga bila Najib bertemu dengan 4 ulama tersohor Arab Saudi iaitu, Sheikh Dr. Abdullah Al Jalali, Sheikh Dr. Sulaiman Salumi, Sheikh Saleh Al Duwaish dan Sheikh Dr. Abdul Rahim Mulazadah.

Walaupun penulis sedar, lebih ramai orang cuba memperlekehkan pertemuan itu dengan mempersoalkan bahasa apa yang digunakan atau sama ada Najib menggunakan khidmat penterjermah.

Tapi sepengetahuan penulis, ramai cendekiawan Islam yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, malah penulis pernah berjumpa dengan seorang Imam sebuah masjid di Madinah yang boleh bertutur bahasa Melayu dalam loghat Kelantan!!

Jadi itu bukan masalah besar.

Yang patut dibimbangkan ramai orang ialah, apakah perkara yang dibincangkan dengan panjang lebar itu? ini kerana kalau tidak silap penulis, salah seorang dari ulama tersebut iaitu Dr. Abdullah Al-Jalali pernah berkunjung ke Malaysia pada Jun lepas membentangkan kertas kerja dalam seminar Fiqh Mentaati Pemimpin.

Adakah Najib cuba memperkuatkan lagi Islam di Malaysia ini lebih dari apa yang diamalkan sekarang dengan mendapatkan pandangan dari para ulama tersebut? Atau Najib cuba menjadikan insititusi Islam di negara ini lebih ekstrim seperti mana Arab Saudi?

Penulis percaya, apa pun topik perbincangan, tidak sampai ke tahap melaksanakan hudud tapi penulis tahu ada banyak ruang yang boleh dilaksanakan untuk mengukuhkan perkembangan Islam di negara ini yang boleh dibuat kerajaan.

Masalahnya disitu, pengukuhan Islam ini akan menjejaskan perkembangan pelbagai agama lain yang dianuti masyarakat bukan Islam di Malaysia. Keadaan ini sudah tentu mencetuskan kebimbangan bahawa agama-agama lain akan ditindas dibawah pentadbiran BN!!

Tapi dari segi politik, tindakan Najib ini akan memberi lebih alasan kenapa rakyat Malaysia perlu menolak BN dan UMNO. Malaysia diakui sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama, Islam dalam perlembagaan hanya kepada adat istiadat Melayu dan raja sahaja, tidak lebih dari itu.

Masyarakat bukan Islam di negara ini dan segelintir orang Islam sendiri memang menolak amalan beragama yang ekstrem dan tidak lagi sesuai dengan peredaran zaman. Antara sebab kenapa PAS menggugurkan hudud dan negara Islam demi bersama-sama dengan Pakatan Rakyat pun kerana PAS tahu perkara tersebut menyebabkan ketakutan kepada orang bukan Islam.

Cuma kerana cuak dengan sokongan orang Melayu yang semakin merosot, PAS akhir-akhir ini cuba kembali kepada perjuangan asalnya kerana perkara itu terbukti menguntungkan parti tersebut dalam beberapa pilihanraya umum.

Tapi penulis tinggalkan perkara itu dahulu untuk memberi ruang kepada isu yang dibincangkan sekarang.

Apa sekalipun penulis ingin memberi amaran kepada BN. majoriti rakyat di negara ini terutama yang bukan beragama Islam, tidak boleh menerima amalan beragama yang keterlaluan di kalangan penganut agama Islam.

Amalan yang sedia ada sekarang pun perlu dikurangkan lagi ke tahap paling minima.

Pulau Pinang adalah contoh terbaik bila azan tidak lagi boleh dilaungkan dengan menggunakan pembesar suara, amalan bertakbir dari rumah ke rumah perlu mendapat permit polis dan sebagainya. – Suara Pakatan Rakyat

Picture – Bernama