klpost

Anwar Ibrahim mengumumkan satu kejutan besar

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan satu kejutan besar akan berlaku dalam politik Sabah pada pilihan raya umum akan datang.

“Akan ada kejutan dalam pilihan raya akan datang. Sabah khasnya akan menyaksikan satu kejutan besar.

“Sebab itu Najib (Razak) takut nak umumkan tarikh pilihan raya. Bila nak tunggu tarikh kena tanya Rosmah (Mansor), Rosmah pula tengok Najib. (Dua-dua) tak boleh nak tahu tarikh pilihan raya,” katanya disambut tepukan gemuruh 5,000 hadirin.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Umum Pakatan Rakyat (Pakatan) di Berchang, Kuala lipis, Pahang malam tadi.

Baru-baru ini, bertiup kencang spekulasi enam pemimpin BN Sabah akan menyertai KEADILAN. Mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang mahu menaikkan orang-orang kepercayaan beliau menjadi calon dalam PRU akan datang. Situasi itu menyebabkan Najib masih mahu menangguhkan PRU sehingga kemelut Sabah dapat diselesaikan.

Ketua Umum KEADILAN itu turut mengulangi janji-janji pilihan raya oleh Pakatan Rakyat.

Katanya, sebaik sahaja Pakatan menang, harga minyak akan diturunkan. Begitu juga tarif elektrik dan pendidikan percuma.

“Pakatan akan melaksanakan janji termasuk menurunkan harga minyak, tarif elektrik, mengkaji PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan memberikan pendidikan percuma,” katanya.

Beliau juga mengulangi bahawa pelabur Arab akan datang dengan sejumlah besar pelaburan jika beliau diberikan amanah sebagai Perdana Menteri oleh rakyat.

Biarpun dalam hujan lebat, orang ramai setia menunggu sehingga Anwar menghabiskan ucapan. Jelas kelihatan gelombang perubahan sedang melanda rakyat Pahang yang beberapa tahun lalu tidak berminat menghadiri ceramah Pembangkang.