SK

Anwar Ibrahim akan di lantik sebagai Perdana Menteri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Pakatan Rakyat (Pakatan) telah membuat ketetapan bahawa hanya Melayu Islam akan dilantik sebagai Perdana Menteri seandainya gabungan itu berjaya memenangi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) akan datang.

Ketua DAPSY Pusat, Anthony Loke berkata, DAP sebagai parti dalam Pakatan bersama PKR dan Pas tidak pernah mempertikaikan perkara itu dan keputusan telah dicapai mengenainya.

“Jika Pakatan berjaya dalam pilihanraya umum nanti dengan menguasai Putrajaya maka Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dlantik sebagai Perdana Menteri. Bukankah Anwar seorang Melayu Islam?,” soalnya.

Anthony berkata demikian kepada TVSelangor hari ini bagi mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan jawatan Perdana Menteri perlu diisi Melayu Islam sebagai wakil kaum terbesar dan berpengaruh di negara ini.

Abdul Hadi dalam laporan media berkata, Pas berpegang kepada asas resolusi pakatan pembangkang yang berpandukan Perlembagaan yang jelas mengenai Islam sebagai agama Persekutuan, hak Bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Raja Berpelembagaan.

“Perlembagaan memang tidak menyebut siapa-siapa (Perdana Menteri)…..itu semua orang tahu tapi dari segi realitinya, kita perlu ikut kaedah demokrasi iaitu kepemimpinan mestilah dari kalangan kaum terbesar yang berpengaruh (Melayu),” katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Sebelum ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan mahu terus berjuang untuk membolehkan bukan Melayu dilantik menjadi Perdana Menteri.

Anthony menambah, DAP tidak akan melayan sebarang laporan berita sebegitu yang dimainkan media pro Umno-BN yang cuba menggambarkan ketidaksepakatan pakatan pembangkang.

Beliau berkata, keputusan sudah dibuat mengenainya dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Kita tidak akan terperangkap dengan sebarang cubaan untuk mengganggu gugat keutuhan yang telah dibina dalam Pakatan.

“Apa yang pasti usaha itu tidak memberi sebarang kesan,” katanya. -selangorku