klpost

Anwar beli Lajim dan Wilfred

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim memuji Lajim Ukin dan Wilfred Bumburing atas keberanian mereka melawan rejim penguasa yang zalim.

Menyifatkan sifat itu tidak dimiliki Perdana Menteri, Ketua Pembangkang itu secara seloroh, berkata mereka mengambil jalan susah demi kepentingan rakyat.

“Saya kagum dengan keberanian Lajim, Wilfred. Inilah ciri-ciri kualiti seorang pemimpin – berani. Mereka cari jalan susah, nak lawan PM, nak lawan seluruh jentera BN.

“Sebab itu saya salute (tabik), inilah hero rakyat yang sebenar,” katanya sambil menempelak Najib yang takut berdebat, malah tidak berani mengumumkan tarikh pilihan raya sehingga ke hari ini.

Beliau juga bersyukur kerana Lajim dan Wilfred tidak keseorangan, sebaliknya dikerumuni rakyat segenap kaum apabila memutuskan untuk meninggalkan BN.

Anwar turut mengingatkan mereka, berapa jentera media Umno BN akan menyerang mereka setiap hari berikutan keberanian kedua-dua pemimpin itu.

“Saya cakap dengan isteri Lajim, kena kuat. Umno BN takkan biar begitu sahaja. Tapi, dengan rakyat bersama kita, Insya-Allah semua akan berjalan lancar.

“Ada yang kata Anwar beli Lajim, beli Wilfred. Akupun mana ada duit. Umno lainlah, bolot dan rampas kekayaan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat Sabah supaya memilih pemimpin yang betul bagi memastikan nasib mereka dibela, bukannya ditentukan seorang dua pemimpin atasan.

Berucap depan lebih 20,000 pengundi Beaufort pada majlis pelancaran Pakatan Perubahan Sabah (PPS), Anwar berkata, kejutan akan terus berlaku.

“Dulu, bila saya kata ada kejutan di Sabah, pemimpin Umno BN permainkan saya tapi kejutan sebenar bukan penyertaan mereka (Lajim dan Wilfred) tetapi kebangkitan rakyat Sabah,” katanya.

Tambah Anwar lagi, perkara pokok yang akan ditekankan adalah penyelesaian isu pendatang tanpa izin, melestarikan pembangunan termasuk penurunan harga bahan bakar dan menyerahkan royalti minyak sebanyak 20 peratus apabila Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan persekutuan kelak.

Penduduk yang ditemui rata-rata mengucapkan tahniah kepada Lajim di atas keputusannya keluar dari BN kerana mereka di Beaufort khasnya dan Sabah amnya sudah bosan dengan janji-janji BN yang seringkali dimungkiri termasuklah bekalan air bersih hingga rakyat terpaksa menggunakan air sungai di zaman serba canggih ini.

Enggan disiarkan namanya, beliau turut menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana melihat negeri-negeri yang diperintah seperti Selangor dan Kedah, banyak manfaat diberikan kepada rakyat terbanyak termasuk skim khairat kematian dan saguhati masuk universiti. – Jalan Pulang