klpost

Angkara rogol dan cabul, pelajar kolej ditahan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Sesyen Ampang di sini hari ini, atas dua pertuduhan iaitu mencabul dan merogol dua wanita.

Di Mahkamah Majistret, Ahmad Farid Abdul Jalil, 19, dari Cheras Baru, didakwa mencabul rakannya yang berusia 23 tahun, di dalam sebuah kereta, di tepi jalan Lebuh Raya Hulu Langat, Ampang, pada 8.22 malam, 13 Mei lepas.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan Ahmad Farid diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu dia tidak boleh mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 6 Nov untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene.

Di Mahkamah Sesyen, Ahmad Farid didakwa merogol seorang pelukis draf berusia 22 tahun, di kawasan lapang Menara Tinjau, Jalan Ampang, Selangor, pada 12.30 malam, 11 Sept lepas.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi.- Bernama/SH