klpost2

Anak rayu ibu pulang ke pangkal jalan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM  –   Tidak mahu terus bergelumang dengan dosa, seorang ibu tunggal tiga anak yang menjadi wanita simpanan seorang pegawai kerajaan selama hampir 11 tahun, rela berdepan hukuman apabila menyerah diri di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), di sini, kelmarin.

Wanita berusia 40-an itu mengaku sudah empat kali menggugurkan kandungan hasil hubungan haram itu, namun kini insaf selepas menyedari kekasih gelapnya itu hanya menjadikannya alat pemuas nafsu.

Malah, dia yang mahu dikenali sebagai Ros berkata, lelaki itu sering memukulnya hingga hidungnya patah akibat dipijak dan wangnya juga dikikis sehingga puluhan ribu ringgit termasuk untuk membeli kereta.

Menurut Ros, penyesalannya semakin mendalam selepas anak lelaki yang berusia 10 tahun mengetahui perhubungan terlarangnya itu dan menasihatkannya meninggalkan lelaki terbabit.

“Tambahan pula, kini lelaki itu sudah meninggalkan saya dan menjalin hubungan dengan perempuan lain. Jadi, terbukti dia bukan mahu menjadikan saya isteri keduanya seperti dijanjikan.

“Sia-sia saja penantian hampir 11 tahun dan saya tidak sanggup terus hidup bergelumang dosa,” katanya yang ditemui ketika memberi pengakuan dan membuat aduan mengenai penganiayaan bekas kekasihnya itu kepada Penolong Pengarah Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi Jais, Shahrom Maarop.

Ros berkata, dia juga sedih apabila ayahnya yang berharap dapat menikahkan mereka kini sudah meninggal dunia tanpa mengetahui hubungan terlarang yang dilakukannnya dengan lelaki kasanova berusia 40-an itu.

“Kerana percaya segala janjinya, saya melakukan apa saja termasuk melayan nafsu seksnya. Kami kerap berjumpa di hotel lima bintang dan hubungan kami seperti suami isteri.

“Memang ini kerja gila, tetapi rasa cinta dan harapan menggunung untuk menjadi isteri keduanya yang sah, saya hilang pertimbangan dan seolah-olah lupakan Tuhan.

“Kini setiap malam saya tidah boleh tidur kerana diganggu dosa-dosa silam, sebab itu saya datanag menyerah diri dan membuat aduan kepada Jais,” katanya.

Mengimbau kisah silamnya itu, Ros berkata dia mengenali lelaki terbabit menerusi seorang rakan selepas gagal dalam perkahwinan pertama dengan seorang usahawan.

Menurutnya, sejak itu, mereka saling berhubung sebelum memutuskan untuk menjadi pasangan kekasih gilap tidak lama kemudian walaupun tinggal berjauhan.

“Bagi mengelak hubungan sulit kami dihidu isterinya, dia memberi alasan tugasnya sebagai penguat kuasa untuk meninggalkan pejabat bagi membolehkan kami memadu kasih di hotel,” katanya.

Ros mendakwa, sejak tahun pertama menjalin hubungan dia sudah diuji apabila kekasihnya itu sering memukulnya akibat berang diajukan soalan mengenai hubungan dengan wanita lain.

“Bermula daripada itu, saya sering menjadi mangsa belasahan, malah saya pernah diterajang dan muka dipijak hingga tulang hidung saya patah dalam satu kejadian penghujung tahun lalu.

“Tapi, setiap kali selepas memukul saya, dia cepat-cepat memeluk dan menasihati supaya tidak menuduh dia mempunyai perempuan lain dan berjanji akan mengahwini saya menyebabkan hati saya lembut,” katanya.

Selain itu, kata Ros, hampir setiap bulan lelaki terbabit meminta wang daripadanya termasuk apabila dia perlu bertugas di luar kawasan.

“Malah, saya sanggup mengeluarkan wang simpanan puluhan ribu ringgit bagi membeli kereta baru kepadanya. Selepas itu, dia mula buat perangai kononnya saya terlalu cemburu.

“Dia memukul saya , namun saya yakin dia memang ada wanita lain,” katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor berhubung kejadian dibelasah lelaki itu.

Sementara itu, Shahrom berkata, pihaknya akan menyiasat kes itu termasuk memanggil lelaki terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 25, Enakmen Jenayah Syariah 1995 kerana melakukan persetubahan luar nikah.

Katanya, Jais menerima banyak laporan kes seumpamanya berpunca daripada wanita yang termakan pujuk rayu lelaki yang hanya ingin memuaskan nafsu tanpa ikatan sah sebelum meninggalkan mereka begitu saja.

“Kami terbuka untuk membantu umat Islam yang terlanjur untuk tampil bagi memastikan masalah mereka diselesaikan mengikut undang-undang Islam.

“Menyedihkan apabila ada wanita Islam sanggup menjadi wanita simpanan, tetapi Jais bangga kerana wanita berkenaan insaf dan tampil untuk membersihkan diri yang sebelum ini hidup bergelumang dosa,” katanya. – hmetro