SK

“anak india anak saya, anak cina anak saya, anak melayu pun anak saya”.

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

RASANYA tidak sah kalau sambutan hari bapa ini tidak diucapkan kepada pemimpin ulung Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar pada penulis adalah Bapa Malaysia mengatasi begitu banyak gelaran bapa-bapa yang dikurniakan sendiri oleh UMNO kepada pemimpin mereka yang pernah menjadi Perdana Menteri.

Berbeza dengan UMNO, gelaran Bapa Malaysia ini diberi oleh rakyat Malaysia sendiri, bukan puak-puak mereka sahaja.

Gelaran ini adalah layak diberikan kepada Anwar melihat kepada jatuh bangunnya dalam politik yang hampir menyamai perjuangan Nelson Mandela di Afrika Selatan dan Aung San Suu Kyi di Myanmar. Dipenjara, didera tapi masih teguh dengan perjuangan untuk membela rakyat.

Kutukan dan segala macam penghinaan yang diterima beliau tidak sesekali melemahkan semangatnya untuk kekal sebagai pejuang rakyat.

Penulis tidak perlu mengulas tentang bagaimana beruntungnya, Nurul Izzah dan adik-adiknya mempunyai seorang bapa seperti Anwar. Apatah lagi bila berkongsi bapa dengan seluruh rakyat Malaysia.

Penulis katakan berkongsi dengan seluruh rakyat Malaysia kerana antara petikan ucapan Anwar yang paling diingati sehingga kini ialah, “anak india anak saya, anak cina anak saya, anak melayu pun anak saya”.

Dalam sejarah negara ini, rasanya tidak pernah ada pemimpin yang mengucapkan petikan sedemikian melainkan Anwar seorang. Kita ada Perdana Menteri yang berkuasa lebih 20 tahun tapi tidak pernah dikenang kerana ucapan yang seumpana itu, hampir kepada itu pun tidak.

Walaupun kelihatannya mudah, pendek dan ringkas, tapi ia membawa makna yang begitu besar dan menusuk ke dalam kalbu setiap rakyat Malaysia.

Kita yakin Anwar memang benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya dan penulis juga yakin Anwar akan mengambil berat hal dan kebajikan rakyat seperti mana beliau mengambil berat kebajikan anak-anaknya sendiri. Dengan berpegang kuat kepada tanggapan ini, rakyat Malaysia tidak seharusnya ragu-ragu dengan segala janji Anwar kepada rakyat jika beliau berjaya memegang tampuk pemerintahan negara.

Akhir kata penulis kepada Anwar “Datuk Seri, Happy Father’s Day sir,” – Suara Pakatan Rakyat