klpost

Ambil duit beri ijazah penuntut tidak perlu hadir kelas,bekas pensyarah didakwa

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –   Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000 ke atas seorang bekas pensyarah  selepas mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Hakim Rozilah Salleh memerintahkan tertuduh, Elmy Shadzli Wahi, 41, menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini dan jika gagal membayar denda ditambah kepada enam bulan lagi penjara.

Elmy Shadzli didakwa memperoleh RM1,500 melalui akaun Malayan Banking Bhd daripada penuntut Muhammad Asrull Aizat Solehan sebagai balasan untuk memberi diploma di bidang kulinari kepada penunut itu tanpa beliau (Muhammad Asrull) perlu menghadiri kuliah dan menduduki peperiksaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Dataran Maybank Bangsar No 1, Jalan Maarof di sini jam 3.30 petang, 13 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan kedua membabitkan kesalahan memperoleh rasuah, setelah peguam S I Rajah, yang mewakili tertuduh memberitahu surat representasi sudah diterima dan disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nur Lokman Samingan daripada SPRM.

Bagi pertuduhan kedua itu Elmy Shadzli didakwa cuba memperoleh RM1,500 daripada Muhammad Asrull bagi tujuan yang sama di Jalan Sri Ehsan 2, Taman Perindustrian Sri Ehsan dekat sini jam 8.30 malam, 16 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen yang berlainan, Elmy Shadzli juga mengaku bersalah terhadap dua lagi pertuduhan rasuah memberi sijil diploma kepada penuntut yang lain, tahun lalu.

Elmy Shadzli yang sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu menukar pengakuannya hari ini ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Ahmad Zamzani menetapkan 23 Januari ini untuk jatuhan hukuman dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Nizam Wan Omar juga daripada SPRM. – Bernama