klpost

Ambiga dan Bersih Terbaik

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

HIMPUNAN Oren Sabtu lepas diakui banyak pihak gagal. Bukan sangat dari segi jumlah yang datang, tapi kerana yang datang itu bukan dari golongan yang mahu kita perjuangkan nasibnya – peneroka Felda sendiri.

5,000 orang pada penulis (sumber Malaysiakini), adalah jumlah yang memadai walaupun agak jauh dari anggaran asal seramai 20,000 orang. Tapi apalah sangat maknanya kalau para peneroka sendiri tidak hadir memberikan sokongan malah di beberapa tempat, membuat puluhan laporan polis serta demonstrasi membantah penganjuran himpunan tersebut.

Penulis dimaklumkan jumlah kehadiran yang sekadar ‘memadai’ itu menjadi punca kenapa pemimpin utama Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah, YB Azmin Ali, YB Lim Kit Siang, YB Lim Guan Eng, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abd Hadi Awang tidak turut serta dalam himpunan tersebut.

Nak menyalahkan mereka kerana tidak hadir pun tidak boleh. Dalam keadaan ura-ura untuk pilihanraya umum diadakan semakin dekat, reputasi dan imej penting. Takkan mereka mahu dikaitkan dengan himpunan yang jumlah pesertanya sekadar ‘cukup-cukup makan’, walaupun memang itu yang sebetulnya.

Penulis dimaklumkan, ceramah Anwar hampir tiap-tiap malam yang biasa pun dapat mengumpul jumlah peserta hampir dengan jumlah itu.

Semua ini menginsafkan penulis bahawa hanya Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga sahaja yang terbukti mampu menguruskan penganjuran himpunan raksasa di Malaysia.

Bukan setakat menganjurkan bahkan menjadikan perhimpunan tersebut berjaya dan dikenali di seluruh dunia.

Semua perlu ingat ya, semasa himpunan Bersih 3.0 yang lepas, ada 7 batang jalan sekitar Dataran Merdeka yang dipenuhi penyokong peserta himpunan. Dalam Himpunan Oren Sabtu lepas, hanya sebatang jalan sahaja yang digunakan peserta himpunan untuk berarak ke Istana Negara!!

Nasib baiklah jurukamera yang ditugaskan bijak mengambil sudut yang sesuai untuk menggambarkan yang himpunan tersebut penuh dengan ‘puluhan ribu’ orang tapi penulis yang berada disitu tahulah keadaan yang sebenarnya.

Ini hakikat yang semua perlu sedar. Lebih baik menerima kenyataan dari hidup dalam kepura-puraan. Kalau ramai kita kata ramai, kalau kurang kita kata kurang, menipu pun tak guna.

Apa sekalipun, ini sekadar menunjukkan tidak ada koordinasi yang sempurna antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam soal penganjuran himpunan membabitkan kepentingan rakyat.

Kita mempunyai semua yang terbaik dari segi sumber intelektual dan fizikal tapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak-pihak terbabit. Paling penulis tidak faham kenapa Mazlan Aliman tidak merujuk kepada Ambiga terlebih dahulu sebelum mengadakan himpunan dalam skala ini.

Mungkin Mazlan Aliman mahu membuktikan kebolehannya menganjur dan mengetuai himpunan rakyat sebesar ini, tapi perlu diingat ini bukan masa yang sesuai untuk sesiapa menunjuk pandai kerana ia membabitkan imej Pakatan Rakyat.