klpost

“Akibat Cemburu, Badan Melecur”

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Chukai  –  Seorang wanita berusia 56 tahun melecur di badan selepas disimbah dengan air teh panas oleh seorang wanita lain yang dikatakan cemburu dengan kehidupan bahagia mangsa bersama suaminya.

Dalam kejadian jam 9 malam Isnin minggu lalu, mangsa sedang minum di sebuah restoran di Jalan Jakar, dekat sini, bersama anaknya, sebelum suspek yang berusia 52 tahun tiba-tiba datang melemparkan kata-kata kesat kepadanya.

Suspek kemudian mengambil gelas berisi air teh panas dan menyimbahnya ke arah mangsa sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa mendakwa suspek sebelum ini sering mengganggu keluarganya termasuk suaminya dengan alasan tidak suka dan cemburukan mangsa.

Diamkan diri

Mangsa sebelum ini bertindak mendiamkan diri dengan perbuatan suspek dan berikutan tindakan ganas suspek itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai jam 9 pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata, polis sudah menahan suspek di hadapan sebuah salun di Jalan Jakar pada jam 4 petang kelmarin.

Beliau berkata, suspek dibebaskan selepas keterangannya diambil untuk siasatan lanjut dan pihaknya masih menjalankan siasatan kes itu.

Che Suza berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah yang jika mana sabit kesalahan suspek boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.  –  BH

 

(Gambar sebagai Illustrasi shahja)