Sunday , 24 August 2014

Aidilfitri tidak bermakna bagi kami, anak masih merana dihospital

KUALA LUMPUR: “Saya tak boleh maafkan dia. Tak boleh lagi selepas apa yang dia lakukan. Aidilfitri ini pun tiada maknanya kepada kami sekeluarga,” kata Mat Zaki Mat Hussin, 45, bapa kepada gadis mangsa dibakar teman lelaki awal minggu lalu.

Menurutnya, anak keduanya itu, Nurul Firzanah, 16, masih lagi berada dalam keadaan kritikal di unit kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL), meskipun baru selesai menjalani pembedahan di bahagian leher, kelmarin.

Katanya, Aidilfitri yang menggalakkan umat Islam bermaaf-maafan juga tidak mampu lagi dihayati pengertiannya oleh dia sekeluarga kerana ‘kuasa kemaafan’ itu sukar diberi kepada pelaku yang menyebabkan anak kesayangannya itu menderita kecacatan teruk.

“Melihat keadaan dia (Nurul Firzanah) membuatkan saya sedih, malah isteri saya, Norliyati Abdul Hamid, 41, masih sedih dan tak terdaya…nak balik rumah di Sri Serdang pun dia tak mampu dan asyik menangis terkenang kepetahan dan gelagat Nurul Firzanah.

“Kami tak terdaya nak beraya. Tiada sambutan Aidilfitri pun, tak mampu nak ke rumah saudara-mara sebaliknya hospital inilah tempat kami berkumpul.

“Memang dugaan ini sukar kami tempuh dan saya tak boleh nak maafkan budak (suspek) itu, perbuatan dia kepada anak kami tak boleh diterima,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian bantuan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di HKL, di sini semalam.

YKN diwakili Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKN antaranya, Datuk Seri Mohamed Khalil Hussein dan Prof Datuk Dr Zaliha Omar.

Mat Zaki berkata, sehingga kini dia masih belum mendapat maklumat mengenai suspek dan berharap orang ramai dapat membantu mengesan teman lelaki anaknya itu untuk diadili.

“Saya harap orang ramai boleh sama-sama mengesan dan bawa dia ke pihak berkuasa. Selepas kejadian tiada berita langsung daripada dia, malah keluarga dia sendiri pun tidak tahu ke mana dia menyembunyikan diri kerana sebelum itu tiga minggu dia tak pulang ke rumah.

“Keluarga dia yang juga bekas jiran kami ketika menetap di AU2, Keramat ada datang melawat Firzanah dan memohon maaf bagi pihak anaknya,” katanya.

Metro melaporkan, Shahrizat berkata, pihaknya akan cuba membantu keluarga mangsa jika diperlukan mengikut apa yang disarankan HKL berikutan proses merawat Nurul Firzanah yang mengambil masa lama termasuk rawatan pembedahan plastik.

Bagaimanapun, katanya, semalam YKN memberi sumbangan RM2,000 sebagai permulaan selain berharap keluarga mangsa terutama ibu bapanya akan terus tabah dan sabar.


Scroll To Top