klpost

Ahli perniagaan rogol amah, dipenjara 14 tahun, 5 sebatan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Seorang ahli perniagaan dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 5 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, 2 tahun lalu.

Hakim Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap Sufian Sulaiman, 44, bapa 6 anak, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dia didakwa merogol pembantu rumah berusia 19 tahun itu di sebuah rumah di Taman Bukit Cheras, antara pukul 3.00 dan 4.00 pagi pada hujung Julai 2016 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara tersebut sementara menunggu rayuan selesai di Mahkamah Tinggi dengan menaikkan wang jaminan RM12,000 kepada RM25,000 berserta seorang penjamin.

Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran 2 kali sebulan selain pasport diserahkan ke mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni memohon hukuman setimpal atas alasan perbuatan yang dilakukan tertuduh jijik dan kejam ekoran mangsa datang ke Malaysia untuk mencari rezeki namun kejadian ini pula berlaku.

“Saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang boleh memberi keinsafan kepada tertuduh dan keadilan kepada mangsa selain mengambil kira keterangan impak mangsa,” katanya.

Peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Sufian memohon hukuman minimum kerana anak guamnya perlu menanggung 2 isteri, 6 orang anak antara 3 dan 14 tahun dengan pendapatan tidak tetap selain ini merupakan kesalahan pertamanya.

Sebanyak 10 saksi pihak pendakwaan dan 2 saksi pihak pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes yang bermula Ogos tahun lepas. – Bernama