klpost

Ahli Majlis Tertinggi Umno letak jawatan hari ini

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PETALING JAYA – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lajim Ukin hari ini mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam parti tersebut.

Walaubagaimanapun, Lajim yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan menyerahkan kepada kepimpinan Umno untuk menentukan sama ada dapat mengekalkan atau tidak jawatan timbalan menterinya itu, lapor akhbar The Star versi online.

Perkembangan ini memberikan tamparan hebat kepada perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan pilihan raya umum (PRU) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Lajim turut berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik tetapi akan bekerja dengan parti pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) demi kepentingan negeri Sabah, lapor The Star lagi.

“Bagi menentukan keahlian saya dalam Umno, saya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil tindakan… kalau mereka rasa saya menyalahi peraturan parti mereka boleh pecat saya,” katanya dipetik Bernama.

Beliau mengumumkan keputusannya itu ketika berucap dalam majlis berbuka puasa di kediamannya di Likas Jaya, dekat Kota Kinabalu petang tadi, mengikut laporan Bernama.

Lajim turut mengumumkan pertubuhan gerakan baru Pakatan Perubahan Sabah (PPS) di majlis yang sama, yang telah dikaitkan akan berkerjasama dengan PR demi kepentingan negeri Sabah.

Ahli Parlimen Beaufort memberitahu wartawan PPS mempunyai senarai perwakilan seramai 17 orang, bagi setiap kawasan parlimen di Sabah.

Bulan lalu, Lajim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu. – TMI