klpost

Agong prihatin tragedi kebakaran tahfiz – Najib

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, amat prihatin terhadap tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Khamis lepas.

Menurut Najib, beliau bersama Seri Paduka Baginda telah melawat lokasi kebakaran di Jalan Keramat Ujung, Kampung Datuk Keramat, Jumaat lepas.

“Pada malam kelmarin saya bersama Seri Paduka Baginda ke lokasi kebakaran. Dan dengan ini saya ingin menyatakan Baginda amat prihatin dengan tragedi yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah,” katanya pada sidang media khas di ibu pejabat UMNO di sini, hari ini.

Tragedi ngeri kebakaran pada 5.15 pagi Khamis lepas meragut nyawa 21 pelajar tahfiz dan dua warden, yang juga guru di pusat tahfiz berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh pada sidang media tergempar semalam mengumumkan penahanan tujuh remaja berusia di antara 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan kes kebakaran tersebut.

Amar Singh berkata motif kebakaran pusat tahfiz itu berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek di antara pelajar tahfiz itu dan pihak luar.

Katanya, siasatan kes tersebut dilakukan mengikut Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 iaitu melakukan khianat dengan api. – Bernama