Saturday , 1 November 2014

Agenda hudud mustahil di Malaysia – DAP

Professional valet service for all event
http://nusapark.com/

KUALA LUMPUR: Hasrat PAS yang mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini sukar untuk direalisasikan kerana parti itu perlu terlebih dulu meminda Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, untuk meminda perlembagaan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Nak hudud mesti ada pindaan di Parlimen. Dia (PAS) tahu nak dapat majoriti dua pertiga itu mustahil,” katanya.
Malah, katanya hingga hari ini Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 juga masih tidak dapat dikuatkuasakan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS Rabu lalu yang mengulangi pendirian parti itu untuk memperjuangkan hukum hudud walaupun tidak dipersetujui DAP.

Menurut Tan, isu hudud adalah satu perkara yang rumit terutama dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk dan ia tidak sepatutnya dibangkitkan.

“Jangan kita bangkitkan perkara yang boleh menimbulkan porak-peranda terutama kepada perkara yang tak boleh dilaksanakan,” katanya.
Mengulas mengenai pendirian DAP itu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Chandra Muzaffar, berkata pendirian PAS untuk memperjuangkan hukum hudud walaupun tidak mendapat restu DAP menunjukkan kedua-dua parti itu banyak perbezaan dan tidak sealiran.

Beliau yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) berkata, kedua-dua parti berkenaan hanya berpakat kerana mereka mempunyai ‘musuh’ tertentu yang menghalang hasrat untuk merampas kuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

“Ini menunjukkan hubungan mereka satu hubungan yang beroportunis kerana mereka nak berkuasa, tak ada sebab lain,” katanya.

Dr Chandra juga berkata, tindakan PAS yang memberi keutamaan kepada hudud apabila berkuasa menunjukkan seolah-olah bahawa hukuman itu mencerminkan tamadun Islam.

“Ini tak betul kerana yang mencerminkan kegemilangan Islam adalah ilmu pengetahuan dan keadilan,” katanya. – BERNAMA

Scroll To Top
banner